Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Di Kebanyakan Kawasan Malam Ini

LocalEnvironment
23 Nov 2024 • 5:35 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Di Kebanyakan Kawasan Malam Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang terhadap 11 negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 9 malam ini.

Menerusi muat naik di laman Facebook, seluruh negeri Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka bakal menerima hujan lebat. Begitu juga dengan WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.

Cuaca buruk dijangka landa kebanyakan kawasan di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Keadaan yang sama turut melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.

Cuaca di pantai timur dijangka cerah kecuali daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub di Pahang.

Turun ke Negeri Sembilan, amaran hujan lebat dikeluarkan bagi daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau sahaja.

Manakala di Johor, MetMalaysia menjangkakan daerah di pantai barat negeri tersebut bakal terima hujan lebat. Daerah yang terlibat ialah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Beralih ke Sarawak, hujan lebat dijangka landa Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan dan Sri Aman (Sri Aman. Begitu juga Betong (Betong), Kapit (Belaga), Bintulu, Miri dan Limbang.

Di Sabah, daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan) dan Tawau (Tawau) turut tersenarai.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan pada tahap waspada yang melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 29 November. Manakala Sabah pula dijangka berterusan sehingga 25 November.

Di Perlis, Kedah, Perak dan sebahagian kawasan Kelantan dan Pahang juga berada di tahap waspada bermula 26 hingga 29 November.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar.