
TAWAU: “Siapkan atau diberhentikan!” Itu amaran terhadap pihak kontraktor yang terlibat dalam semua pembinaan projek fasiliti ketenteraan di kem-kem tentera supaya mematuhi jadual kerja yang ditetapkan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya tidak teragak-agak memberhentikan kontraktor yang diyakini gagal untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.
“Kalau gagal, kita tamatkan projek (perkhidmatan kontraktor). Saya tidak akan teragak-agak. Semalam (pada Sabtu di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 -MKATB 2 Kem Kukusan), kita sudah tamatkan (perkhidmatan kontraktor),” katanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Khaled berkata demikian sebagai merujuk kelambatan pembinaan Projek Pembinaan 144 Unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Kukusan yang melibatkan peruntukan RM77 juta dan sepatutnya siap pada Julai 2024 selepas dimulakan pada September 2021.
Pemberita menemui beliau sempena lawatan kerjanya di Kem Kubota Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Ke-7 di sini, pada Ahad, yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Mengulas lanjut, isu berkaitan disifatkan menimbulkan cabaran terutama perpanjangan masa siap dan pertambahan kos, namun projek itu perlu diteruskan demi manfaat anggota tentera.
“Apabila kita buka untuk tender baharu, kita terpaksa berhadapan dengan kelewatan dan peningkatan kos, bahkan terpaksa menggunakan dana yang sepatutnya untuk hal-hal lain.
“Sebab itu kita tidak gembira jika sesuatu projek gagal atau sakit kerana melibatkan banyak masalah yang perlu dihadapi terutama pertambahan masa dan kos pembinaan,” katanya.
Menyentuh hal berkaitan, beliau berkata projek RKAT - Tambahan Pelbagai untuk kegunaan pelbagai kelas yang bernilai RM99 juta di Kem Kubota dijadual siap pada September 2026.
Menurutnya, projek itu akan dipantau pihaknya kerana disifatkan sangat penting dan diharap dapat siap mengikut jadual sesuai jaminan kontraktor dan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Dalam lawatan kerja ini, penting untuk melihat semua pembangunan yang kerajaan putuskan terutama melibatkan kepentingan anggota tentera dapat disiapkan sebagaimana dirancang.
“Projek ini sangat penting untuk memastikan anggota tentera kita dapat mempunyai tempat penginapan yang baik dan sesuai untuk membangun atau membina keluarga dengan jayanya.
“Jika tidak siap-siap, anggota-anggota tentera kita terpaksa menyewa di luar kem dan keadaan ini akan menyebabkan kita berhadapan dengan bermacam-macam cabaran dan isu,” katanya.
Berhubung penyelenggaraan rumah-rumah di kem tentera pula, beliau berkata peruntukan sebanyak RM400 juta disediakan setiap tahun kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peruntukan yang disediakan Kerajaan Perpaduan Madani semenjak 2023 itu disifatkannya lebih besar berbanding pada era kerajaan-kerajaan terdahulu yang tidak lebih RM100 juta setahun.
“Pada tahun ini, Kem Kubota diberi peruntukan RM1 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan rumah-rumah sedia ada untuk memastikan keselesaan keluarga anggota tentera,” katanya.
Berkaitan kebajikan dan pembangunan ekonomi anggota tentera pula, kementerian kini dalam rangka melaksanakan Program Kem Santuni Madani (PKSM) melibatkan tajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera bernilai RM500, 000 di lima kem tentera terpilih di seluruh negara.
Melalui projek ini, dewan di Kem Kubota akan dinaik-taraf pada masa sama kem ini juga terpilih untuk menjalankan projek ternakan madu kelulut yang melibatkan penyertaan isteri-isteri anggota tentera sebagai peserta bersama suami mereka.
Dalam perkembangan berasingan, Khaled turut mendedahkan hasrat kementerian untuk menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan mencapai usia 10 tahun pada tahun hadapan.
Antara cadangan kementerian adalah untuk mendapatkan Pangkalan Operasi Hadapan baharu yang lebih bersifat ‘mobile’ dan boleh menampung helikopter dengan beban lebih enam tan.
Selain itu juga, Kementerian Pertahanan juga dikhabarkan baharu sahaja menerima empat radar pengawasan Coastal Surveillance System baharu untuk dipasang di Pantai Timur Sabah.
