
Jam tangan pintar Amazfit Balance 3 telah dilancarkan di Malaysia sebagai pilihan baharu berfokus kepada sukan. Ia hadir dengan kerangka 51.4mm, skrin AMOLED 1.5” beresolusi 480 x 480 piksel dengan kecerahan puncak 3,000 nits, kaca kristal nilam serta kalis air 10ATM.

Model ini turut menawarkan lebih 180 mod sukan termasuk latihan kekuatan dan sukan khusus. Ia juga disokong oleh teknologi HybridCharge Energy Intelligence yang berfungsi menyelaraskan tiga jenis data utama iaitu LifeLoad (tekanan harian), BioCharge (tenaga dan pemulihan), serta Training Load (intensiti senaman) bagi memastikan prestasi lebih teratur.

Melalui aplikasi Zepp, pengguna boleh mengakses data ketahanan, kekuatan dan pemulihan sebagai panduan latihan. Ia turut menyokong fungsi Hybrid Training dengan mod perlumbaan HYROX, analisis mendalam dan pelan latihan hibrid berstruktur. Dari segi kesihatan, Balance 3 mampu memantau kadar denyutan jantung, oksigen darah, tekanan dan suhu kulit serta dilengkapi pembesar suara, mikrofon untuk panggilan Bluetooth, sokongan NFC dan lampu suluh terbina.

Bateri digunakan mampu bertahan sehingga 21 hari yang menjadikannya sesuai untuk jadual latihan konsisten. Untuk pasaran Malaysia, Amazfit Balance 3 versi Stainless Steel ditawarkan pada harga RM1,599 dengan harga pengenalan RM1,499. Sementara itu, versi Titanium pula berharga RM1,999 dan buat masa ini disenaraikan sebagai akan datang.

