
Amazon melancarkan Amazon Supply Chain Services (SCS), membuka keseluruhan rangkaian logistiknya kepada mana‑mana perniagaan, termasuk yang tidak menjual produk mereka di laman Amazon. Amazon SCS ini dilihat akan mengubah landskap logistik seperti mana AWS mengubah landskap penawaran perkhidmatan awanan kepada pelanggan yang tidak mahu memiliki infrastruktur sendiri.

Amazon SCS akan menawarkan pengangkutan bahan, pengedaran produk, pemenuhan pesanan pelanggan, dan penghantaran barangan jarak akhir dalam satu platform yang bersepadu. Pengalaman mereka menguruskan logistik dan penghantaran gedung Amazon kini digunakan pula untuk menawarkan perkhidmatan sama kepada pelanggan luar.
Antara syarikat yang sudah menggunakan rangkaian Amazon SCS ialah Procter & Gamble untuk pengangkutan bahan mentah, 3M untuk penghantaran ke pusat pengedaran dan American Eagle Outfitters untuk penghantaran jarak akhir ke pelanggan. Amazon kini juga boleh memenuhi pesanan dari Walmart, Shopify, dan TikTok di Amerika Syarikat.
Skala logistik Amazon adalah sangat meluas merangkumi lebih 200 pusat pengedaran di Amerika, 80,000 lori, 100 pesawat dan pengalaman melakukan 13 bilion penghantaran setahun. Pengumuman Amazon SCS sudahpun menyebabkan saham syarikat logistik seperti DHL dan FedEx terjejas.

