AmBank jangka BNM kekalkan OPR pada 3%, kini wujud keseimbangan inflasi diinginkan
diyana
01/11/2023 - 14:29
KUALA LUMPUR 1 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% dalam mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) yang akan datang, kata AmBank (M) Bhd.
AmBank berpendapat bahawa 125 mata asas (bps) normalisasi pasca COVID-19 telah membawa kepada keseimbangan inflasi pertumbuhan ke tahap yang diinginkan.
BNM akan mengadakan mesyuarat MPC keenam merangkap mesyuarat terakhir bagi 2023 pada 1 dan 2 November ini.
AmBank berkata dalam mesyuarat MPC sebelum ini bahawa BNM telah mengubah pendiriannya kepada "menyokong" daripada "sedikit akomodatif".
"Kami tidak melihat sebarang perubahan kepada OPR dan kami berpendapat bahawa 125 mata asas normalisasi pasca COVID-19 telah membawa kepada keseimbangan inflasi pertumbuhan ke tahap yang diinginkan," katanya dalam nota penyelidikan, lapor Bernama.
Berkenaan ringgit, bank itu menjangkakan sokongan kepada mata wang tempatan akhirnya akan diperoleh apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar dasar menjelang pertengahan 2024.
"Kami mengulangi gesaan kepada Fed untuk mengurangkan kadar menjelang pertengahan 2024, memandangkan kesan dasar monetari yang ketat mula menjelma dan dengan prospek jangka sederhana Fed yang mempunyai kecenderungan menurunkan kadar faedah, sokongan terhadap ringgit akhirnya akan diterima," katanya.
Menurut AmBank, ringgit mencatatkan rekod terendah baharu apabila mencapai paras terendah harian 4.796 berbanding dolar AS awal minggu lalu.
Menurutnya, ini berikutan ringgit tidak mendapat sebarang sokongan di tengah-tengah jangkaan 'lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang' dan persekitaran mengelakkan risiko akibat konflik yang memuncak di peringkat antarabangsa.
"Selain itu, yuan China yang berkecenderungan rendah diterjemahkan kepada ringgit yang semakin lemah berikutan yuan dan ringgit memegang korelasi lebih 90% dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. - DagangNews.com

