AmBank unjur inflasi Malaysia pada kadar 2.7% hingga 3.2% berbanding unjuran awal 3% hingga 3.5%

Business & Finance
31 Jul 2023 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmBank unjur inflasi Malaysia pada kadar 2.7% hingga 3.2% berbanding unjuran awal 3% hingga 3.5%

azan

31/07/2023 - 15:11

KUALA LUMPUR 31 Julai - AmBank Economic Research mengunjurkan inflasi negara berada pada kadar antara 2.7% hingga 3.2% pada tahun ini berbanding jangkaan awal antara 3% hingga 3.5% berdasarkan kepada trend penurunan yang ditunjukkan sejak beberapa bulan lalu.

Firma itu berkata, keadaan itu juga disokong oleh jangkaan ringgit mengukuh pada kadar 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2023 dan harga komoditi yang stabil.

"Bacaan terkini pada Jun 2023 ialah 2.4% yang menjadikan inflasi tahun penuh setakat ini kepada 3.2% (2022: 3.4%).

"Inflasi teras yang tidak termasuk item yang tidak menentu dan harga terkawal juga berkurangan kepada 3.1% pada Jun 2023.

"Pada asas tahun sehingga kini, inflasi teras berada pada 3.6% (2022: 3%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, kebanyakan item utama mengalami trend penurunan inflasi sepanjang tahun, termasuk barangan makanan, pakaian dan restoran dan hotel.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam beberapa item, termasuk utiliti perumahan disebabkan oleh sewa sebenar untuk perumahan, kesihatan disebabkan harga produk farmaseutikal yang lebih tinggi dan pendidikan disebabkan oleh pendidikan pra-rendah dan rendah yang lebih tinggi.

Sementara itu, firma itu berkata, harga bagi semua gred petrol (RON95, RON97, dan diesel) stabil sepanjang tahun dan hanya RON97 dinaikkan sebanyak 2 sen kepada RM3.37 pada minggu pertama Jun 2023.

"Kami tidak lagi menjangkakan sebarang perubahan dalam harga runcit petrol kerana kebarangkalian pelaksanaan subsidi bersasar tahun ini tidak mungkin berlaku.

"Ini bermakna harga untuk RON95 kekal pada RM2.05 dan Diesel pada RM2.15/liter untuk baki tahun ini.," katanya.

Katanya, jika RON95 diapungkan pada harga pasaran semasa, anggaran harga pasaran bagi RON95 adalah sekitar RM2.70/liter dan ia bermakna RON95 diberi subsidi sebanyak 65 sen bagi setiap liter penggunaan. - DagangNews.com