Ambulans Langgar Lori Di Betong, Pemandu Lori Ditahan Untuk Siasatan Lanjut

9 Sep 2024 • 5:28 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Jururawat dan Pemandu Ambulans Parah Dalam Insiden di Jalan Sri Aman-Sarikei

Ambulans Langgar Lori Di Betong, Pemandu Lori Ditahan Untuk Siasatan Lanjut. Seorang jururawat dan pemandu ambulans mengalami kecederaan parah dalam satu kemalangan di Kilometer 46 Jalan Sri Aman-Sarikei pagi tadi.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 4.20 pagi melibatkan sebuah ambulans dan lori, menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie.

image is not available

Polis Mohon Saksi Tampil

Ambulans tersebut dalam perjalanan pulang ke Hospital Betong selepas menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak (HUS). Berdasarkan siasatan awal, lori tersebut mengalami kerosakan dan diletakkan di bahu jalan. Pemandu lori telah meletakkan tanda amaran segitiga kira-kira 50 meter dari lori tersebut dan memasang lampu ‘hazard’ sebagai langkah keselamatan sebelum ambulans tersebut merempuh bahagian belakang kanan lori itu.

Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil oleh pemandu lori, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan. Pemandu lori tersebut telah ditahan oleh pihak polis dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jururawat wanita dan pemandu ambulans yang cedera telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.