Ambulans Rempuh Treler, Seorang Penolong Pegawai Perubatan Disahkan Maut

8 Jul 2024 • 10:33 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ambulans Rempuh Treler, Seorang Penolong Pegawai Perubatan Disahkan Maut

Seorang penolong pegawai perubatan maut dalam kemalangan apabila ambulans yang dinaikinya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi, menyatakan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati ambulans yang dipandu oleh seorang lelaki, 41, bersama seorang penolong pegawai perubatan wanita, 30, melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di laluan kiri.

“Semasa kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan balik dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras ke Ipoh setelah selesai menghantar pesakit manakala, treler tersebut pula dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barangan.

“Akibat kemalangan tersebut, penolong pegawai perubatan ambulans yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu ambulans pula hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu treler berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Justeru, pihak polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 013-2087919 untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian