AMCOP bangunkan sistem radar pengawasan mudah gerak bernilai RM4 juta untuk APMM
zakisalleh
26/05/2023 - 09:21
LANGKAWI 26 Mei - Sistem pengawasan mudah gerak (MSU) binaan syarikat tempatan, AMCOP menjadi aset terbaharu yang dimiliki Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkasakan peranan agensi itu.
MSU yang dipasang di atas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dapat membantu meningkatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut.
Ini memberikan aspek mobiliti apabila ia mudah diatur gerak termasuk ke kawasan yang sukar dilalui kenderaan biasa.
Tiang radar pula boleh dinaikkan setinggi enam meter dengan semua sistem beroperasi menggunakan bekalan kuasa.
MSU akan membantu bagi mendapatkan liputan sensor yang maksimum dan meluaskan liputan maritim bagi memastikan rondaan serta operasi SAR lebih cekap.
Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada aset udara dan laut.

Ketua Pegawai Eksekutif AMP Corporation (M) Sdn. Bhd., Dato' Sri Mustaffa Hj Abd Rahman berkata, MSU merupakan sistem yang melengkapkan peranan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).
"Ia boleh digunakan untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan termasuk di laluan tikus dalam usaha mencegah kegiatan penyeludupan atau pencerobohan di kawasan perairan.
“Pembangunan MSU bertujuan untuk menyediakan aset pelengkap pengawasan pantai kepada SWASLA di bawah APMM,” katanya.
Sebagai permulaan, sebuah unit MSU ini yang bernilai RM4 juta digunakan APMM sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk perolehan unit-unit seterusnya.
AMCOP, syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 1997 mempunyai pengalaman serta kemahiran teknikal dalam menyelenggara Sistem Pengawasan Laut Malaysia (MSSS).
Kemajuan AMCOP sepanjang tempoh tersebut menyaksikan syarikat ini berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah dapat mencipta peluang pekerjaan.
Pencapaian AMCOP membangunkan sistem MSU juga menunjukkan kebolehan syarikat tempatan untuk menawarkan teknologi yang setanding dengan kelengkapan sama buatan luar. - DagangNews.com
