Baru-baru ini kami ada melaporkan bahawa AMD kini sedang menghadapi isu kerentanan sekuriti Sinkclose pada siri CPU mereka sendiri yang membolehkan penggodam untuk melakukan serangan dan mencuri data dari komputer melalui CPU itu sendiri.
AMD sebelum ini mengatakan bahawa mereka hanya akan mengemaskini siri CPU desktop AMD Ryzen 5000 dan siri CPU komputer riba AMD Ryzen 4000 keatas sahaja berkenaan isu ini, tetapi kini nampaknya telah mengatakan bahawa siri cip pemprosesan AMD Ryzen 3000 akan ditambah ke senarai siri cip pemprosesan yang akan menerima kemaskini tersebut.

Menurut AMD lagi, kemaskini kod mikro ini akan mula dikeluarkan bermula hari ini, 20 Ogos 2024, tetapi tidak mengesahkan bagaimanakah kemaskini ini akan dikeluarkan untuk pengguna. Kebarangkaliannya ia mungkin sama seperti bagaimana papan induk memperkenalkan kemaskini perisian untuk papan induk mereka.
Seperti yang kami katakan sebelum ini juga, kerentanan ini sukar untuk diakses kerana banyak langkah yang perlu dilakukan untuk mengeksploitasinya. Tetapi untuk AMD, menutup kerentanan ini adalah penting kerana sekiranya ia benar-benar dieksploitasi, tiada pengguna atau perisian yang akan sedar bahawa data pada komputer mereka sendang dicuri.



