
Pada pertengahan tahun ini, AMD telah memperlihatkan sedikit butiran tentang siri teknologi grafik terbaru mereka yang dinamakan FSR Redstone yang merangkumi teknologi-teknologi seperti frame-generation (penambahan bingkai) dan upscaling (penambahan resolusi) menggunakan kecerdasan buatan.
Dua lagi teknologi yang diperlihatkan ialah neural radiance caching dan ray regeneration menggunakan pembelajaran mesin, dimana kedua-dua daripadanya adalah berkaitan dengan teknologi Ray-Tracing yang memberikan permainan-permainan video tekstur dan pantulan cahaya yang kelihatan lebih semulajadi dengan lebih cekap.
Hari ini, Jack Huynh, pengurus besar dan Senior Vice President AMD telah mengumumkan bahawa teknologi FSR Redstone akan diperkenalkan untuk siri kad grafik AMD Radeon RX 9000 yang terdiri daripada AMD Radeon RX 9070/9070XT dan AMD Radeon RX 9060/9060XT pada 10 Disember 2025.
Secara teknikalnya, ciri upscaling dan frame-generation menggunakan pembelajaran mesin sudahpun diperkenalkan pada siri kad grafik tersebut apabila ia dilancarkan, tetapi kemaskini FSR Redstone dilihat akan memperkenalkan dua ciri tambahan neural radiance caching dan ray regeneration pada kad-kad grafik tersebut, dan akan diselarikan dalam satu pakej ciri yang mudah dikemaskini, dan dijangka akan menggantikan FSR 4, pakej teknologi grafik AMD sedia ada, yang juga hanya disokong secara rasmi pada siri kad grafik AMD Radeon RX 9000.
Ia dijangka bahawa AMD akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai FSR Redstone apabila ia dilancarkan pada 10 Disember ini.

