
Amerika Gesa PBB Sokong Pelan Gencatan Senjata Gaza-Israel
Amerika Syarikat meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima pakai resolusi menyokong rancangan gencatan senjata yang digariskan Presiden, Joe Biden.
Resolusi yang dikemukakan itu dikatakan bertujuan untuk menamatkan pertempuran antara Israel dan Hamas yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza ketika ini, lapor AFP.
Duta Besar Amerika Syarikat, Linda Thomas-Greenfield berkata draf berkenaan turut disokong oleh ramai pemimpin dan kerajaan, termasuk di rantau berkenaan.
Draf berkenaan, seperti yang dilihat oleh AFP, mengalu-alukan perjanjian baharu seperti yang diumumkan pada 31 Mei lepas dan menggesa Hamas menerima sepenuhnya dan melaksanakan terma-terma tanpa berlengah dan tanpa bersyarat.
Amerika Syarikat gesa Majlis Keselamatan PBB sokong pelan gencatan senjata Gaza-Isarael dikemukakannya
Jumaat lepas, Biden menggariskan pelan yang dipanggilnya sebagai pelan Israel yang terdiri daripada tiga fasa.
Tiga fasa berkenaan adalah menamatkan konflik berdarah, membebaskan semua tebusan dan membina semula kawasan Palestin yang musnah tanpa Hamas berkuasa.
Menurut laporan AFP lagi, Biden dikatakan telah memberitahu Emir Qatar bahawa beliau melihat Hamas menjadi penghalang kepada genjatan senjata penuh di Gaza.
Oleh itu, Biden juga dilapor menggesa Qatar untuk terus menekan Hamas supaya menerima pelan damai yang dikemukakan.
Bagaimanapun, Hamas pada minggu lepas menyifatkan pihaknya melihat pelan dikemukakan Biden secara positif. Tetapi, Hamas selepas itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengulas pelan tersebut.
Manakala pihak-pihak yang terlibat sebagai orang tengah iaitu Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat masih belum mengumumkan sebarang perbincangan baharu.
Sumber: AFP
The post Amerika Gesa PBB Sokong Pelan Gencatan Senjata Gaza-Israel appeared first on Siakap Keli.


