Amerika Ingin Membina Superkomputer Lima Kali Lebih Berkuasa Berbanding Yang Terpantas Sekarang

TechnologyDigital
29 Jul 2024 • 8:07 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Status superkomputer paling berkuasa di dunia dipegang oleh Frontier dengan kemampuan memproses mencapai tahap exaFLOPS yang dua kali ganda lebih berkuasa berbanding Aurora di tempat kedua. Walaupun Frontier masih belum mampu dicabar, Amerika Syarikat kini memulakan projek membina superkomputer yang di antara 3-5 kali ganda lebih berkuasa berbanding Frontier.

Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (DOE) membuka kertas cadangan untuk membina superkomputer yang akan menggunakan nama Discover. Syarikat yang berminat perlu memastikan Discover boleh beroperasi selewat-lewatnya pada awal 2028.

image is not available
Frontier

Ia akan digunakan untuk melakukan kajian pembangunan ubat, merawat kanser, mencari penyelesaian sumber tenaga yang lestari, meramal impak perubahan iklim dan melatih kecerdasan buatan (AI). Pembangunan Discover diharap akan memastikan kelebihan Amerika Syarikat dalam arena superkomputer.

Untuk memastikan mereka sentiasa di hadapan, Amerika sudah mengenakan sekatan teknologi ke atas China yang menyasarkan kemampuan superkomputer mencecah 300 exaFLOP menjelang 2025. Beberapa syarikat superkomputer China tidak lagi dibenarkan membeli komponen dan cip AI dengan kuasa yang dikurangkan sahaja boleh ditawarkan.