Pelancaran model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 secara sumber terbuka minggu lalu menyebabkan syarikat teknologi Amerika mengalami kerugian $1 trilion disebabkan oleh penurunan nilai saham. DeepSeek R1 yang didakwa dilatih menggunakan kos lebih rendah dan perkakasan lebih lemah berjaya mengalahkan model yang dibangunkan oleh OpenAI. Terkini Rumah Putih dan Biro Jenayah Persekutuan (FBI) dilaporkan akan memulakan siasatan yang mendakwa DeepSeek yang berpangkalan di Hangzhou, China menggunakan cip NVIDIA secara haram.

DeepSeek dipercayai mengakses cip NVIDIA yang lebih berkuasa menerusi pihak ketiga yang berpangkalan di Singapura. Singapura menjadi hab 20% jualan NVIDIA tahun lalu tetapi dengan ia kemudiannya dijual semula kepada pelanggan luar negara. NVIDIA telahpun mengatakan cip mereka dijual kepada pelanggan yang mematuhi semua undang-undang sedia ada dan akan bertindak sewajarnya jika menerima laporan sebaliknya.
Amerika Syarikat mengenakan halangan jualan cip AI untuk penggunaan pusat data di China. Akibatnya NVIDIA menghasilkan cip khas untuk pasaran Chin dengan kemampuan memproses yang dikurangkan. Halangan diperketatkan lagi oleh Joe Biden dengan negara seperti Malaysia, Singapura dan Israel diberikan pula kuota untuk membeli cip AI.

