Amerika Syarikat telah memulakan semula pengeluaran senjata nuklear selepas ia dihentikan pada tahun 1989 bagi memenuhi persetujuan dengan Kesatuan Soviet ketika itu. Pengeluaran teras plutonium (plutonium pit) yang pertama dalam tempoh 35 tahun berjaya dilakukan awal bulan dan ia adalah langkah pertama menghasilkan kepala peledak untuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) generasi baharu yang sedang dibangunkan.

Dengan Perang Dingin bermula kembali dengan Rusia, Amerika kini dalam proses menggantikan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) LGM-30G Minuteman III yang sudah agak berusia dengan ICBM LGM-35 Sentinel.
Setiap Sentinel akan dilengkapi satu kepala peledak nuklear W87-1 baharu dengan teras plutonium akan menjadi komponen penting untuk melakukan letupan menerusi belahan nuklear. Letupan pertama ini akan menghasilkan letupan nuklear kedua yang lebih kuat. Amerika Syarikat tidak mendedahkan apakah kekuatan letupan W87-1 cuma ia pastinya lebih kuat berbanding kepala peledak W78 Minuteman III yang sebesar 335 kiloton.

Sentinel diperlukan kerana Minuteman III yang dibangunkan pada dekad 1970an. Sistem pelancaran, kebuk bawah tanah dan bahan api yang digunakan ICBM ini sudah ketinggalan zaman. Selain itu kepala peledak yang digunakan tidak akan berfungsi seperti yang sepatutnya disebabkan oleh pereputan semula jadi teras plutonium yang digunakan.
Kesemua 400 Minuteman III akan digantikan oleh Sentinel menjelang 2030an. Pada ketika ini Amerika mempunyai kemampuan menghasilkan 80 teras plutonium setahun bagi memenuhi keperluan pertahanan Amerika Syarikat.



