Isu perang tarif di antara kerajaan Amerika Syarikat dan China nampaknya telah diselesaikan buat masa ini, tetapi kerajaan negara negara barat tersebut nampaknya sedang bersiap-sedia untuk memperkenalkan sekatan baharu sekiranya perbincangan perdagangan dengan China tidak menghasilkan sebarang hasil yang memuaskan.
Amerika Syarikat dijangka akan menyekat lesen perniagaan Validated End User (VEU) khususnya untuk syarikat-syarikat pengeluar cip pemprosesan seperti TSMC, Samsung dan SK Hynix yang mempunyai kilang pengeluaran cip di China.
Ia dilaporkan bahawa sekiranya kedua-dua kerajaan negara itu tidak menemui kata sepakat apabila perbincangan perdagangan tersebut tamat, lesen VEU syarikat-syarikat seperti yang dinyatakan diatas akan ditarik sekiranya mereka dilihat menggunakan kelengkapan pengilangan cip semikonduktor berteknologi tinggi (seperti mesin EULV dan sebagainya) di China.

Lesen VEU ini secara mudahnya membenarkan syarikat-syarikat tersebut untuk menggunakan kelengkapan pembuatan cip yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan sekutunya seperti Applied Materials, KLA dan ASML di China untuk menghasilkan cip pemprosesan dan memori menggunakan teknologi-teknologi terbaru.
Walaupun begitu, untuk mendapatkan dan mengekalkannya cukup sukar kerana syarikat-syarikat ini perlu juga membuktikan bahawa komponen yang dihasilkan di China menggunakan teknologi tersebut tidak dijual di syarikat-syarikat atau kerajaan negara tersebut.
Sekiranya lesen ini ditarik-balik, kapasiti pengeluaran komponen untuk pasaran global akan merudum dan akan menyebabkan harga komponen-komponen meningkat dengan mendadak.
Tetapi buat masa ini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengesahkan bahawa sekatan ini hanya akan digunapakai sekiranya perbincangan perdagangan dengan China tentang tarif dan bahan mentah nadir bumi tidak mencapai kata sepakat.


