
WASHINGTON – Pentagon semalam mengumumkan pemberian kontrak bernilai AS$24.4 bilion(RM99.7 bilion) kepada Raytheon untuk mempercepatkan pengeluaran peluru berpandu SM-6 ketika Washington berusaha menggantikan sejumlah besar amunisi yang telah digunakan semasa perang menentang Iran.
“Misil SM-6 merupakan ‘amunisi peperangan antiudara dan antipermukaan yang kritikal.
“Kontrak lima tahun ini, dengan dua tahun pilihan tambahan, akan memacu pengeluaran yang lebih pantas,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perjanjian itu menyediakan industri pertahanan dengan keupayaan jangka panjang diperlukan untuk mengembangkan kapasiti tenaga kerja dan menjamin rangkaian bekalan kritikal.
Presiden Donald Trump sebelum ini mengetepikan soalan mengenai kesan besar terhadap bekalan amunisi negara berikutan perang menentang Iran yang dilancarkan Amerika Syarikat serta Israel pada 28 Februari lalu.
Namun, Jabatan Pertahanan menyatakan, penggunaan amunisi bagi Operasi Epic Fury telah menyebabkan kekurangan inventori yang strategik.
Trump turut memberitahu barisan penasihatnya bahawa beliau menjangka akan menyambung semula pengeboman ke atas Iran menjelang akhir November ini, lapor akhbar Wall Street Journal. – AFP
The post Amerika umum kontrak hampir RM100 bilion cepatkan pengeluaran misil appeared first on Kosmo Online.

