
Pentadbiran Presiden Donald Trump melancarkan stok simpanan strategik Project Vault bernilai $12 bilion untuk mineral kritikal seperti unsur nadir bumi, litium, kobalt, nikel, dan grafit. Kesemua mineral kritikal ini adalah penting untuk industri pertahanan, senjata, tenaga, kereta elektrik dan pengilangan maju di Amerika Syarikat tetapi amat bergantung kepada bekalan daripada China.

Menerusi Project Vault, Amerika Syarikat ingin memastikan pengeluaran domestik tidak akan terganggu sekiranya bekalan dihentikan seperti yang berlaku tahun lalu. China menghalang eksport unsur nadir bumi seperti galium, germanium, antimoni dan grafit pada November lalu kerana mengatakan ia mempunyai fungsi sekunder bagi tujuan ketenteraan seperti reaktor nuklear dan peluru berpandu.Ia adalah balasan kepada Amerika menghalang cip AI canggih dijual kepada China atas alasan yang sama.
Walaupun Project Vault telah diumumkan, jumlah mineral kritikal yang ingin dikumpul masih lagi belum diumumkan. Pengumpulan akan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan peningkatan harga pasaran secara mendadak.
Project Vault hanyalah langkah sementara perlombongan mineral kritikal di Amerika Syarikat kembali berfungsi dan mampu memenuhi keperluan domestik. Perlombongan nadir bumi dihentikan di Amerika Syarikat berdekad lalu kerana isu pencemaran serta sisa toksik seperti yang dapat kita lihat sendiri di Pahang.

