AMH desak kerajaan selesaikan segera isu kelewatan WCE, industri logistik tanggung kos berganda

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 5:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AMH desak kerajaan selesaikan segera isu kelewatan WCE, industri logistik tanggung kos berganda

image is not available

25/09/2025 - 17:38

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu kelewatan menyiapkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), khususnya di Seksyen 3 (Kampung Jawa) di Shah Alam.

Ini kerana kelewatan itu memberi kesan langsung kepada penyambungan terhadap jajaran lain seperti Seksyen 2 dan 4.

AMH berkata, isu itu memerlukan perhatian segera daripada semua pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan industri dan rakyat terpelihara.

Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, isu pengambilan tanah di Kampung Jawa yang masih belum diselesaikan bukan sahaja menangguhkan pembukaan Seksyen 3, malah turut menjejaskan fungsi keseluruhan Lebuhraya WCE sebagai laluan alternatif utama ke Pelabuhan Klang.

“WCE direka bentuk sebagai rangkaian menyeluruh. Jika salah satu bahagian tergendala, keseluruhan sistem tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Kesan kelewatan ini tidak lagi terhad kepada satu seksyen, sebaliknya merencatkan aliran logistik dari utara ke selatan, termasuk jadual penghantaran ke Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih merisaukan ialah kos ekonomi yang semakin meningkat akibat kelewatan berpanjangan.

“Bagi ahli AMH, kelewatan tersebut telah menyebabkan kos berganda bukan sahaja dari segi peningkatan operasi harian, malah juga kerugian lebih banyak peluang apabila laluan lebih efisien tidak dapat digunakan.

“Setiap hari, ribuan kenderaan muatan berat termasuk lori kontena masih terpaksa menggunakan laluan alternatif seperti KESAS dan Lebuhraya Persekutuan.

“Bukan sahaja menambahkan kesesakan, malah meningkatkan risiko keselamatan, khususnya apabila kenderaan berat terpaksa berkongsi laluan sesak dengan pengguna biasa.

“Akibatnya, masa perjalanan menjadi lebih panjang, kos bahan api melonjak dan risiko kemalangan turut meningkat.

“Semua ini akhirnya menekan lagi kos logistik yang akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan rakyat,” katanya.

Lebih membimbangkan AMH kelewatan berterusan ini boleh menggugat keyakinan pelabur dan pihak industri terhadap kemampuan negara menyiapkan projek infrastruktur mengikut jadual.

“Apabila tarikh penyelesaian diumumkan namun masih belum tercapai, ia boleh menimbulkan persepsi kurang meyakinkan dalam kalangan pelabur antarabangsa untuk melabur pada masa hadapan,” tegasnya.

Selain itu, hampir semua ahli AMH turut menyuarakan kebimbangan dan berharap adanya kepastian tentang resolusi akhir yang akan diambil bagi menyelesaikan isu Kampung Jawa ini.

Sebarang ketidaktentuan terhadap hala tuju penyelesaian menimbulkan persoalan besar mengenai tempoh yang masih perlu dihadapi industri logistik dalam menanggung kesan ekonomi dan operasi akibat kelewatan ini.

Sehubungan itu, AMH menyeru pihak berkuasa yang berwajib untuk mempertimbangkan tindakan sewajarnya berpandukan undang-undang yang sedia ada, sekali gus memastikan kepentingan awam dan kepentingan ekonomi negara tidak lagi terjejas.

AMH juga bersedia untuk bekerjasama dan memberi pandangan mewakili industri pengangkutan haulier dalam mencari penyelesaian terbaik.

Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) merangkumi 11 seksyen dengan keseluruhan panjang kira-kira 233 kilometer, bermula dari Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak.

Di negeri Selangor, laluan sepanjang 93.8 kilometer dibahagikan kepada tujuh seksyen, manakala di Perak, jajaran sepanjang 99.2 kilometer terdiri daripada empat seksyen. - DagangNews.com

standard

View Original Article