
SEREMBAN: Negeri Sembilan mampu untuk mencapai pelaburan berjumlah RM5 bilion melalui beberapa projek di negeri ini berdasarkan unjuran Invest NS sehingga September lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar).
Beliau berkata projek-projek berkenaan kini sedang dalam rundingan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan pendaftaran pelaburan baharu termasuk projek tenusu Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di Gemas dan projek pusat data yang masing-masing berjumlah RM1 bilion.
“Selain itu, kerajaan negeri sentiasa mempromosikan peluang pelaburan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai kaedah dan platform antaranya mengedarkan risalah Invest NS ke pejabat MIDA di luar negara serta misi galakan pelaburan yang diadakan di ekspo-ekspo antarabangsa.
“Kita juga turut menyelia dan menambah baik proses pelaburan di negeri ini. Oleh itu, berdasarkan gerak kerja dan promosi tersebut, hasilnya bagi Januari hingga Jun lepas, sebanyak 89 projek diluluskan dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata, sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) juga merupakan sektor yang disasarkan dalam pembangunan industri Negeri Sembilan.
Justeru katanya, kerajaan negeri melalui Invest NS berhasrat mewujudkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dengan kerjasama swasta bagi membantu pelabur di negeri ini mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan mematuhi standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk pasaran eksport.
“Tapak cadangan CGPP ini adalah di Bahau di tanah seluas 200 ekar bagi membangunkan loji tenaga solar. Pada 7 September lepas, cadangan program ini dibentangkan kepada tujuh syarikat utama di Techpark Enstek,” katanya.
Sementara itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata kerajaan negeri akan memastikan penerokaan unsur nadir bumi (REE) dijalankan secara terancang bagi mengelakkan sebarang isu pencemaran dan kemasyarakatan untuk jangka panjang.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara itu akan dibuat berpandukan SOP yang dikeluarkan di peringkat Persekutuan dan akan ditambah baik serta disesuaikan mengikut keperluan kerajaan negeri. -Bernama


