Aminuddin sahut cabaran di DUN Linggi demi PH kekal mentadbir Negeri Sembilan

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 5:26 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Aminuddin sahut cabaran di DUN Linggi demi PH kekal mentadbir Negeri Sembilan

SEREMBAN: Penampilan sulung Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi selepas empat penggal mewakili DUN Sikamat, dilihat sebagai langkah berani beliau meskipun sedar ia mempunyai risiko.

Kesanggupan beliau untuk keluar daripada zon selesa dengan menyahut cabaran baharu dalam meneruskan agenda pembangunan negeri dan misi memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat meneruskan pentadbiran kerajaan negeri selepas hari penentuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada 1 Ogos ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan membuktikan beliau adalah pahlawan sejati yang berani bertarung di tempat kubu kuat Barisan Nasional (BN), sekali gus menunjukkan beliau yang mesra dipanggil Tok Min menolak keselesaan, sebaliknya sanggup untuk berlawan.

Pertaruhan Aminuddin di Linggi dilihat membawa cabaran berbeza selepas beliau meninggalkan kerusi Sikamat yang disandangnya sejak 2008.

Memandangkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, pertembungan sebenar ialah antara PH dengan BN yang ingin mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, ini bermakna keberanian Tok Min berpindah ke Linggi adalah mesej penting kepada rakyat.

Perpindahan itu menjadikan Linggi sebagai medan baharu buat Tok Min untuk mendapatkan mandat daripada pengundi di kawasan terbabit selain meneruskan agenda pentadbiran negeri yang beliau terajui sejak 2018.

Beliau menegaskan tindakannya itu bukan kerana ingin lari dari Sikamat tetapi pertukaran kerusi ke Linggi itu mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu merampas kerusi berkenaan untuk membantu PH kekal mentadbir kerajaan negeri.

“Keputusan berpindah ke DUN Linggi adalah untuk memastikan PH berjaya merampas kerusi itu, walaupun kerusi itu kubu kuat BN sejak sekian lama dan PKR pernah bertanding di situ, namun tewas.

“Saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan dan saya rasa ini peluang terbaik untuk memberikan khidmat kepada penduduk di Linggi walaupun kita pernah kalah di situ,” katanya.

Aminuddin mengakui sayang kerusi DUN Sikamat namun demi parti dan matlamat yang disasarkan menuntut beliau berjuang untuk merampas kerusi berkenaan.

“Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN Pembangkang, sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat.

“Kerjaya politik saya bermula di Sikamat. Susah, penat lelah saya penduduk Sikamat yang tahu. Saya bersilaturrahim dengan ramai orang bukan sekadar antara wakil rakyat dengan penduduk, malah seperti keluarga.

“Saya berpindah ke Linggi atas kehendak saya kerana ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi. Jika Allah izinkan kemenangan, saya akan bekerja keras, lebih lagi untuk penduduk di DUN Linggi,” katanya.

Aminuddin mengakui misi menawan kerusi Linggi itu bukan tugas mudah, namun beliau bersedia menggalas tanggungjawab tersebut dan akan bekerja keras atas mandat yang diberikan pimpinan untuk menawan kerusi berkenaan.

“Saya berharap bukan saya sahaja, tetapi rakan-rakan yang lain di setiap DUN bersedia untuk menumpukan perhatian serius kepada isu kempen dan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi,” katanya yang kini giat melaksanakan kempen sebaik selesai penamaan calon, Sabtu lalu.

Sejak Aminuddin mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan, menyaksikan beberapa perkembangan ekonomi dan pelaksanaan projek pembangunan termasuk pembangunan Midport Smart AI Port di Pasir Panjang, Port Dickson.

Projek berimpak tinggi itu melibatkan pelaburan bernilai RM3.4 bilion dan dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan selain pembangunan Zon Bebas Port Dickson seluas 1,400 ekar sebagai sebahagian usaha memperkukuh sektor logistik serta pelaburan negeri.

Pentadbiran kerajaan negeri turut merekodkan peningkatan kutipan hasil negeri dan pelaksanaan beberapa inisiatif berkaitan perumahan, kebajikan rakyat serta pembangunan infrastruktur sepanjang tempoh pemerintahannya.

Untuk PRN, Aminuddin, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson akan berdepan saingan tiga penjuru dalam misi memperoleh kemenangan pertamanya di DUN terbabit pada 1 Ogos ini.

Aminuddin akan berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN berkenaan.

Pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di DUN itu dengan memperoleh 7,832 undi menewaskan Zamri dengan 6,371 undi, yang ketika itu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved