AmInvestment optimis terhadap prospek jangka panjang Inari Amertron didorong perkembangan berterusan produk frekuensi radio

Business & Finance
4 Aug 2023 • 3:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvestment optimis terhadap prospek jangka panjang Inari Amertron didorong perkembangan berterusan produk frekuensi radio

azan

04/08/2023 - 15:18

KUALA LUMPUR 4 Ogos - AmInvestment Bank Research optimis terhadap prospek jangka Inari Amertron Berhad didorong perkembangan berterusan dan keperluan terhadap produk frekuensi radio (RF) yang digunakan pada generasi baharu peranti 5G.

Firma penyelidikan itu mengakui bahawa gangguan rantaian bekalan dan ketegangan perdagangan AS-China menyebabkan kelembapan dalam perkhidmatan pusat data sejak separuh kedua 2022.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur pada suku ketiga tahun ini disokong peningkatan permintaan untuk pusat data dengan kelajuan lebih tinggi dan keupayaan lanjutan yang didorong oleh platform Kecerdasan Buatan (AI), perkhidmatan digital, pengkomputeran awan, IoT dan penstriman video.

"Berdasarkan Precedence Research, pasaran optoelektronik global diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 12.5% untuk 10 tahun kepada AS$21 bilion menjelang 2032 dengan syarikat multinasional mengembangkan simpanan data serantau dan memacu pertumbuhan dalam transceiver berkelajuan tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, Inari terlibat secara aktif dalam menghasilkan transceiver gentian optik, yang merupakan komponen penting peralatan rangkaian optik di pusat data.

Katanya, kumpulan itu juga telah memulakan pengeluaran dalam cip memori, yang menggunakan teknologi termaju untuk pelanggannya.

"Memandangkan segmen automotif menyumbang 11% daripada hasil 9MFY23, Inari berjaya memperoleh beberapa projek penting yang melibatkan LED berkuasa tinggi dan modul kuasa dalam bahagian sistem pada modul (SOM).

"Projek ini ditetapkan untuk dimulakan pada September 2023, menandakan perkembangan yang positif untuk syarikat itu," katanya.

Kumpulan itu juga berjaya mendapatkan beberapa lagi pelanggan baharu yang kesemuanya terlibat dalam rangkaian produk yang serupa.

Langkah strategik ini akan membuka jalan kepada inovasi pengeluaran baharu.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM3.53 sesaham," katanya. - DagangNews.com