
BERGIAT aktif dalam tiga bidang utama iaitu kepimpinan, kesukarelawanan dan ketenteraan memberikan pengalaman luar biasa kepada Muhammad Amir Firdaus Mohd. Yuslin yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut Muhammad Amir Firdaus atau lebih mesra disapa Amir, 24, penglibatannya dalam ketiga-ketiga bidang itu membolehkan dia menimba pengalaman baharu, membangunkan kemahiran kepimpinan dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Untuk bidang kepimpinan, saya terlibat sebagai Pengarah Parlimen Mahasiswa UMPSA yang bertanggungjawab mengelola, mengadakan bengkel dan mengumpulkan presiden-presiden kelab untuk duduk memperjuangkan usul masing-masing.
“Dalam bidang kesukarelawan pula, saya terlibat aktif bersama kelab sukarelawan Yayasan UMPSA dengan memikul pelbagai peranan seperti Timbalan Pengurus Projek Kembara Lestari Sarawak @ Bumi Kenyalang 3.0 di Mukah, Sarawak.
“Saya juga merupakan pengurus untuk Kembara Eksplorasi Asia @ Colombo, Sri Lanka yang berlangsung pada bulan depan.
“Akhir sekali, dalam kegiatan ketenteraan, saya merupakan Pegawai Kadet Memerintah (Commanding Officer) untuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut UMPSA,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.
Tambah Amir, ketenteraan merupakan teras utama yang membentuk dirinya lebih berdisiplin dan berdaya tahan.
Ceritanya, sejak kecil dia sudah diterapkan dengan asas tersebut kerana kedua-dua ibu bapanya juga merupakan anggota tentera.
Mengulas mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergiat aktif, Amir memberitahu, Kembara Lestari Sarawak @ Bumi Kenyalang 3.0 memberikan kenangan sangat manis kerana dia berpeluang tinggal bersama dengan keluarga angkat dari suku kaum Melanau.
“Pada program itu, kami dibahagikan mengikut kluster, dan saya diberi tanggungjawab dalam kluster teknologi untuk membawa teknologi solar serta sensor.
“Saya sangat berbesar hati dapat memberi sumbangan dan membangunkan lagi kemahiran dalam bidang yang saya belajar iaitu kejuruteraan mekanikal,” katanya yang merupakan penerima Anugerah Belia Negara peringkat Negeri Sembilan pada 2024.

di dalam dan luar kampus.
Selain itu, Amir juga tidak dapat melupakan pengalaman mengikuti program kepimpinan ke Bojonegoro, Indonesia pada awal tahun ini.
Ini kerana, dia berpeluang merasai berpuasa di perantauan dan berpeluang berkongsi ilmu pandangan, membuat silang budaya serta mengikuti aktiviti bersama komuniti setempat.
Selain bergiat aktif dalam ketiga-ketiga bidang itu, Amir juga boleh berbahasa Mandarin dengan fasih kerana mengikuti pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Pihak UMPSA memberi saya peluang sebagai penterjemah untuk universiti, dan saya juga dilantik sebagai ‘buddies’ kepada pelajar-pelajar pertukaran dari China bagi memberi panduan serta tunjuk ajar.
“Baru-baru ini, saya telah menjuarai pertandingan berbahasa Cina anjuran UMPSA,” ujar penerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi itu.
Sementara itu, Amir memberitahu, dia kini sibuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus untuk projek Malaysia Book of Record 72 Hours Rush iaitu melakukan sebanyak mungkin aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam tempoh tiga hari.
“Projek ini merupakan inisiatif di bawah Kelab sukarelawan Yayasan UMPSA yang bakal berlangsung pada Disember ini,” katanya.
Mengulas mengenai cita-cita, Amir memaklumkan, dia mahu menjadi seorang jurutera yang bukan sahaja kompeten, malah mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat.
“Saya juga menanam impian untuk bergelar pegawai tentera dan berkhidmat di luar negara dengan menggunakan kemahiran bertuturnya dalam bahasa Mandarin,” ujarnya.
The post Amir manfaatkan kelebihan fasih Mandarin di kampus appeared first on Kosmo Online.
