Amirudin dedah 34 rangkap pantun belanjawan hasil ciptaan sendiri

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Amirudin dedah 34 rangkap pantun belanjawan hasil ciptaan sendiri

SHAH ALAM, 13 NOV: Tidak ramai mengetahui 34 rangkap pantun yang diselitkan dalam teks pembentangan belanjawan negeri selama ini merupakan hasil karya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri.

Beliau berkata, proses mengarang pantun itu menjadi sebahagian daripada rutin serta persediaannya saban tahun, selain memerlukan masa dan ketenangan untuk mendapatkan ilham yang sesuai.

“Hampir semua pembentangan belanjawan, daripada yang pertama sampailah kali ke sembilan ini, hampir semua pantun itu sebenarnya saya buat sendiri, saya cipta sendiri.

“Ada kadang-kadang, saya dapat cipta tu masa sedang tunggu untuk sembahyang Jumaat. Pantun itu dibacakan ketika penutup atau ketika pembukaan atau pun di pertengahan.

“Sampai saya rasa ada 34 keseluruhan pantun-pantun itu. Sebenarnya ini eksklusif orang lain tidak tahu kecuali pasukan saya. Saya cipta sendiri daripada pembayang sampailah kepada maksudnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.

Image from: Amirudin dedah 34 rangkap pantun belanjawan hasil ciptaan sendiri
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika wawancara khas Belanjawan Selangor 2027 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau turut menitikberatkan aspek kesihatan dan kecergasan sebagai persediaan dalam memastikan sesi pembentangan belanjawan negeri berjalan lancar.

Katanya, antara rutin yang diamalkan adalah mendapatkan rehat secukupnya selain mengehadkan penyertaan dalam program atau perbincangan yang boleh menjejaskan tahap kecergasannya menjelang pembentangan.

Jelasnya, persediaan fizikal dan mental penting bagi memastikan beliau dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika menyampaikan intipati belanjawan kepada rakyat.

“Ketika pembentangan belanjawan, biasanya saya akan memastikan saya rehat secukupnya pada malam sebelumnya. Biasanya memang saya akan terlibat dalam apa-apa program.

“Saya akan cuba tidur awal. Selepas tidur yang cukup kita akan cuba bertenang atau pun cuba untuk elakkan keletihan. Saya juga akan sekali lagi menyemak teks belanjawan sebelum dibacakan,” katanya.

Amirudin dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) petang ini.

Pada Belanjawan Selangor 2026, Selangor memperuntuk RM3.23 bilion yang merangkumi RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk pembangunan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved