
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu terus merangka strategi dan langkah ke hadapan untuk kekal bertapak dalam memberikan perkhidmatan dan memacu pertumbuhan sosioekonomi di Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar).
Beliau berkata PKNS yang juga agensi di bawah kerajaan negeri perlu mempunyai fokus dan hala tuju yang jelas dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan baharu khususnya untuk tempoh 50 tahun akan datang.
“PKNS akan menyambut ulang tahun ke-59 tahun ini. Kita sepatutnya merangka pelan untuk sampai ke usia satu abad. Kita perlu bersedia untuk melakukan perubahan, berani dan mempunyai keyakinan untuk bertapak 50 tahun lagi.
“Walaupun usia kita atau waktu dalam perkhidmatan mungkin tidak lama, ada yang mungkin berakhir tahun ini, tetapi saudara-saudari perlu meletakkan asas kukuh supaya PKNS boleh maju ke depan,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 di sini malam tadi.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas.
Seramai 74 kakitangan daripada 38 bahagian yang memberikan perkhidmatan dan sumbangan cemerlang menerima anugerah yang disampaikan oleh Amirudin, manakala 20 pesara dan 42 anggota bagi perkhidmatan lama untuk tempoh 20 sehingga 35 tahun turut menerima penghargaan. -Bernama

