
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc. yang akan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan pusat pengalaman di negeri tersebut pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata kehadiran syarikat tersebut di Selangor menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran negeri tersebut dan bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di Selangor.
“Ia juga akan meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih. Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas susulan persetujuan kerjasama untuk nelabur secara besar-besaran di Malaysia diberikan oleh jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat (AS), Elon Musk dalam pertemuan secara maya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Anwar berkata kerjasama dengan kerajaan melibatkan syarikat SpaceX (milik Musk) dalam perkhidmatan satelit Starlink serta kenderaan elektrik (EV).
Amirudin berkata perkembangan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara aelain antara asas untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada rakyat Selangor.
Beliau berkata antara lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tapak adalah di daerah Petaling dan Sepang selain pejabat daerah serta pihak berkuasa berkait bersedia memudah cara dan menyelaraskan proses kemasukan pelaburan ini.
Pertemuan secara maya dengan Musk itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. -Bernama


