Amirudin tinjau program jualan murah di Taman Keramat

10 Nov 2022 • 4:16 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

OLEH AZIAN AZIZ

HULU KLANG, 10 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di balai raya Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) AU3, Taman Keramat di sini.

Selain beramah mesra dengan penduduk, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak turut melawat beberapa rumah di kawasan flat berkenaan.

Kira-kira 350 orang penduduk sekitar tidak lepaskan peluang membeli barangan terpilih yang dijual pada harga murah dalam program bermula 10 pagi hingga 2 petang.

image is not available
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk ketika program Jualan Ehsan Rakyat di Flat PKNS AU3/1, Ampang Jaya pada 10 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika ditemui, Amirudin sempat menjelaskan, program JER yang dilanjutkan sehingga Mac ini adalah untuk membantu meringankan beban rakyat dan bukannya dibuat semasa pilihan raya sahaja.

“Lepas pilihan raya pun kita turun lagi di sini dan beberapa kawasan lain. Insya-Allah kita akan cuba bantu selagi mampu untuk rakyat dan masyarakat,” tambahnya.

Pada 6 November lepas, Amirudin meluangkan ke sebuah pusat pengagihan ayam dan telur di Sri Ternak dekat sini sekitar 4.30 pagi bagi memastikan bekalan ayam tidak menjejaskan pembeli.

Program JER yang bermula 6 September lalu dan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang dan telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 sejak diperkenalkan.