Amirul Ikhwan buktikan masalah pendengaran bukan halangan belajar

LocalFamily & Parenting
1 Aug 2025 • 5:31 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

SHAH ALAM – Walaupun diuji dengan masalah pendengaran sejak kecil, Amirul Ikhwan bin Rusly membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk terus berjaya dalam pendidikan.

Pelajar yang berasal dari Rawang, Selangor ini kini melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), dan bercita-cita menjadi seorang jurukimpal profesional.

“Saya seronok dapat tawaran belajar di PSA,” katanya dengan bantuan jurubahasa isyarat semasa sesi temu bual oleh MYBERITA di Program Minggu Transformasu Siswa (MTS), Rabu ini.

Amirul yang mendapat keputusan membanggakan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan Purata Gred Keseluruhan (GPK) 3.86 merupakan anak ketiga daripada lima beradik. 

Menariknya, abangnya yang juga mengalami masalah pendengaran turut menuntut di PSA.

Menurut Amirul, antara cabaran utamanya ialah kesukaran untuk mendengar dengan jelas. 

Namun begitu, dengan bantuan rakan-rakan, fasilitator yang prihatin serta sokongan berterusan daripada instruktor bahasa isyarat, dia berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.

“Mak dan ayah selalu pesan supaya saya jaga diri dan belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya dengan senyuman.

Amirul juga mengatakan makanan di sini sedap serta komuniti pelajar yang sangat baik kerana saling membantu antara satu sama lain.

Amirul merupakan antara contoh pelajar istimewa yang membuktikan bahawa dengan usaha gigih, semangat tinggi dan sokongan sekeliling, tiada yang mustahil untuk dicapai.