Amy Lee Sahkan Evanescence Pilih Kuala Lumpur, Destinasi Tunggal Siri Jelajah Asia Tenggara

EntertainmentMusic
28 Apr 2026 • 8:50 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Selepas 14 tahun menyepi daripada pentas Malaysia, kumpulan rock ikonik Amerika Syarikat, Evanescence memilih Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi di Asia Tenggara bagi konsert eksklusif mereka yang dijadualkan berlangsung pada 28 November ini.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu malar segar seperti Bring Me To Life dan My Immortal itu bakal menggegarkan pentas di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sekali gus menandakan kemunculan semula mereka di Malaysia selepas lebih sedekad.

Image from: Amy Lee Sahkan Evanescence Pilih Kuala Lumpur, Destinasi Tunggal Siri Jelajah Asia Tenggara

Diterajui vokalis utama, Amy Lee, Evanescence yang telah lebih dua dekad bertapak dalam industri muzik rock global dijangka membawa persembahan bertenaga serta penuh emosi buat peminat tempatan.

Lebih menarik, kumpulan itu baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Who Will You Follow dan dijangka akan melancarkan album penuh pada Jun ini, menjadikan konsert tersebut antara platform terawal untuk peminat mendengar karya baharu mereka secara langsung.

Konsert berkenaan turut memberi peluang kepada peminat untuk mengimbau kembali era kegemilangan Evanescence menerusi lagu-lagu klasik yang pernah mencetuskan fenomena global.

Sementara itu, Amy Lee mengesahkan khabar angin mengenai kehadiran mereka ke Kuala Lumpur menerusi satu hantaran video di Instagram rasmi Evanescence, yang turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat.

Menerusi video tersebut, Amy meluahkan kegembiraannya untuk kembali bertemu peminat di Malaysia selepas sekian lama tidak membuat persembahan di negara ini.

“Hai semua, saya ada satu pengumuman untuk dibuat. Kami baru sahaja menempah satu slot persembahan yang sangat istimewa dan saya ada melihat beberapa khabar angin yang tular di internet.
“Saya mahu beritahu anda bahawa semua itu adalah benar. Kami akan datang untuk satu malam sahaja bagi mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 28 November ini.
“Sudah 14 tahun berlalu sejak kali terakhir kami berpeluang datang menemui anda dan kami sangat teruja. Tolonglah, jika anda boleh datang, jangan lepaskan peluang ini. Jumpa anda di sana,” kata Amy.

Image from: Amy Lee Sahkan Evanescence Pilih Kuala Lumpur, Destinasi Tunggal Siri Jelajah Asia Tenggara

Kali terakhir Evanescence mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 2012, menjadikan penganjuran kali ini cukup bermakna buat peminat yang membesar dengan muzik mereka.

Artikel lain: ARMY Bersedia! BTS Sahkan Konsert, Singgah Kuala Lumpur Disember Ini

Konsert berskala besar ini dibawakan oleh penganjur Hello Universe, yang sebelum ini mencatat kejayaan penganjuran dua malam sold out bagi konsert My Chemical Romance di Kuala Lumpur.

Sumber: Instagram Evanescence

The post Amy Lee Sahkan Evanescence Pilih Kuala Lumpur, Destinasi Tunggal Siri Jelajah Asia Tenggara appeared first on Borak Daily.