Anak 6 Tahun Masuk Darjah 1? Ini FAQ & Info Bagi Kemasukan Murid Tahun 1 2027 Yang Ibu Bapa Patut Tahu

LocalFamily & Parenting
21 Jan 2026 • 3:34 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum pasti mengetahui semalam (20 Jan) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penepatan kerajaan berhubung penyelarasan umur kemasukan ke Tahun 1 kepada 6 tahun (5+) manakala pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun mulai 2027.

Beliau bagaimanapun menjelaskan perubahan ini masih lagi belum diwajibkan ke atas ibu bapa bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk bersedia dengan persekitaran baru pendidikan, khususnya pendidik.

Pelaksanaan berkenaan yang merupakan sebahagian dari Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 adalah bertujuan meningkatkan hasil pembelajaran, kesediaan STEM/digital dari awal, dan menyediakan laluan pendidikan yang lebih mampan.

Baca artikel berkaitan: Mulai 2027 Darjah Satu Seawal 6 Tahun, Peperiksaan Diperkenalkan Untuk Tahun 4 & Tingkatan 3

Baca artikel berkaitan: Pelan Pendidikan Baharu: Pelajar Perlu Peroleh Minimum Gred ‘C’ Bagi 4 Subjek Teras, Kata KP

Namun pengumuman tersebut membuatkan ada segelintir ibu bapa yang tertanya-tanya apakah sekolah termasuk sekolah kerajaan dapat menampung kemasukan pelajar yang ramai memandangkan pada tahun 2027 akan terdapat 2 kumpulan umur yang akan mula mendaftarkan diri sebagai murid Tahun 1 iaitu anak-anak yang lahir pada tahun 2020 (7 tahun) dan 2021 (6 tahun).

Jadi di bawah kami kongsikan Soalan Lazim (FAQ) berserta jawapan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk rujukan para ibu bapa.

#1 Adakah kemasukan murid umur 6 tahun (5+) ke Tahun 1 diwajibkan?

•⁠ ⁠Tidak
•⁠ ⁠Kemasukan ke Tahun 1 pada umur 7 tahun kekal sebagai laluan standard dan majoriti murid akan mengikuti laluan ini
•⁠ ⁠Kemasukan awal pada umur 6 tahun (5+) ialah pilihan secara sukarela, tertakluk kepada kesediaan kanak-kanak, dan pilihan ibu bapa

Ini bermakna tiada paksaan kepada ibu bapa atau kanak-kanak.

#2 Siapakah yang dianggap bersedia untuk kemasukan awal ke Tahun 1?

⁠ ⁠Kesediaan kanak-kanak merujuk kepada kanak-kanak yang:

  • ⁠Telah mengikuti prasekolah pada umur 5 tahun (4+)
  • Lulus saringan diagnostik yang ditetapkan oleh KPM

Menurut KPM, saringan ini bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran dan kebolehsuaian kanak-kanak terhadap pembelajaran formal.

Jadi tidak semua kanak-kanak dianggap bersedia melainkan telah mengikuti prasekolah pada umur 5 tahun dan lulus saringan diagnostik.

image is not available

#3 Bagaimana keputusan kemasukan awal ini dibuat?

Keputusan dibuat melalui gabungan:

  • Keputusan saringan diagnostik KPM, dan
  • Pilihan ibu bapa secara sukarela

Kemasukan awal tidak berlaku secara automatik dan tidak dibuat secara sewenang-wenangnya.

#4 Adakah ibu bapa boleh menukar fikiran selepas kemasukan anak ke Tahun 1 pada umur 6 tahun?

⁠Setelah kanak-kanak diterima masuk ke Tahun 1 pada umur 6 tahun, murid tersebut akan mengikuti persekolahan sepanjang tahun berkenaan selaras dengan struktur persekolahan sedia ada.

Sepanjang tempoh ini:
•⁠ ⁠Perkembangan murid akan dipantau oleh pihak sekolah dan
•⁠ ⁠Sokongan pembelajaran yang bersesuaian akan diberikan bagi membantu murid menyesuaikan diri.

#5 Adakah kemasukan awal ini terpakai kepada institusi pendidikan swasta?

•⁠ ⁠Mulai tahun 2027, tiada halangan bagi institusi pendidikan swasta untuk melaksanakan kemasukan murid umur 6 tahun (5+)
•⁠ ⁠Namun begitu, pelaksanaan oleh institusi pendidikan swasta hendaklah mematuhi kaedah dan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM

#6 Adakah pembelajaran asas (foundational learning) akan terjejas?

Tidak.

KPM telah menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan:

  • Asas literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran murid tidak terjejas; dan
  • Pembelajaran disesuaikan dengan tahap kognitif murid.

Kurikulum ini memastikan semua murid, termasuk yang memasuki Tahun 1 pada umur
6 tahun, berupaya menguasai kemahiran asas sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya.

#7 Bagaimanakah kesediaan KPM dari segi prasaran dan guru?

Bagi pelaksanaan kemasukan murid pada tahun 2027, KPM akan:

  • ⁠ ⁠Menyediakan bilik darjah tambahan secara berperingkat melalui kaedah Industrial Building System (IBS)
  • Meneliti keperluan prasarana berdasarkan permohonan dan keperluan sebenar;
  • ⁠Menyediakan guru terlatih melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan pelantikan guru secara Contract of Service (COS)

Menurut KPM, perancangan ini dibuat secara berfasa, bukan secara tergesa-gesa.

#8 Adakah murid yang masuk Tahun 1 pada umur 6 tahun perlu berada dua tahun di Tahun 1?

Tidak.

Murid akan mengikuti:

  • 6 tahun pendidikan rendah (Tahun 1 hingga Tahun 6)
  • 5 tahun pendidikan menengah (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5)

Ini bermakna tiada penambahan tahun persekolahan di peringkat rendah.

P/S: Maka tiada Tahun atau Darjah 7

#9 Adakah kemasukan awal ini mengubah tempoh persekolahan murid?

Tidak.

Sama ada murid masuk Tahun 1 pada usia 6 tahun atau 7 tahun, semua murid perlu melalui:

  • 6 tahun pendidikan rendah
  • 5 tahun pendidikan menengah.

Tegas KPM, struktur pendidikan tidak dipendekkan dan tidak diubah. Hanya umur kemasukan Tahun 1 sahaja berbeza.

#10 Ringkasnya, apa yang ibu bapa perlu tahu?

•⁠ ⁠Umur 7 tahun kekal sebagai laluan biasa masuk Tahun 1.
•⁠ ⁠Kemasukan Tahun 1 pada umur 6 tahun hanyalah pilihan, bukan kewajipan.
•⁠ ⁠Kemasukan awal dibuat melalui saringan kesediaan.
•⁠ ⁠Tiada penambahan tahun persekolahan di sekolah rendah.
•⁠ ⁠Kebajikan, perkembangan dan kesiapan kanak-kanak sentiasa diutamakan.