Anak baru 4 tahun, sudah pening soal sekolah

LocalFamily & Parenting
17 Nov 2026 • 10:48 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak baru 4 tahun, sudah pening soal sekolah

PETALING JAYA – Cabaran mendidik generasi muda pada hari ini mendorong pelakon Mira Filzah mula merancang hala tuju pendidikan cahaya mata sulungnya, Wan Khair Amir Wan Emir Astar lebih awal meski anaknya hanya akan melangkah ke alam persekolahan dua tahun lagi.

Mira atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 33, mengakui tidak terlepas daripada kebimbangan mengenai pemilihan sekolah, persekitaran dan kelompok rakan kerana boleh mempengaruhi perilaku anaknya yang kini berusia empat tahun.

“Sebagai ibu, memang rasa risau memikirkan persekitaran, rakan-rakan dan lokasi sekolah anak walaupun ada dua tahun lagi sebelum mendaftar.

“Saya sudah mula memikirkannya dari sekarang kerana proses pendaftaran agak panjang.

“Menerima pandangan, bertanya pengalaman dan mendapatkan nasihat ibu bapa juga harus kita dapatkan namun semua itu tetap perlu disesuaikan dengan peredaran zaman,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan siri vertikal I’m Not Okay, Cikgu! di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman bergelar ibu buat kali pertama turut menjadi proses pembelajaran kerana masih banyak perkara yang perlu difahami khususnya dalam memastikan anak membesar dalam persekitaran positif.

“Menjadi ibu buat kali pertama memang mencabar kerana saya masih belajar dengan mendapatkan pandangan orang sekeliling.

“Persekitaran dan kelompok rakan penting tetapi kita tidak boleh mengawalnya selama 24 jam. Jadi, selain berusaha, perlu ada tawakal dan doa agar dia dikelilingi rakan yang baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mira turut mengakui cabaran menguruskan anak yang masih kecil kerana adakalanya menguji kesabaran dan stamina.

“Sebagai ibu, apabila penat, emosi kita juga boleh terganggu. Memandangkan dia masih kecil dan sedang belajar memahami perasaan sendiri, saya ingatkan diri supaya menarik nafas panjang serta cuba bertenang kerana bimbang terjerit atau memarahinya.

“Itu perubahan besar yang saya praktikkan selepas berkahwin. Saya tidak mahu wujud jurang, mahu anak-anak terbuka berkongsi perasaan dan berharap dapat menjadi kawan baik mereka sepanjang tempoh membesar menjadi orang dewasa yang berjaya, insya-Allah,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, I’m Not Okay, Cikgu! yang mengangkat tema kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah itu turut dibintangi Waheeda, Mia Sara Shauki dan Meernash. – KOSMO! ONLINE

The post Anak baru 4 tahun, sudah pening soal sekolah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved