
IPOH – Gara-gara anak lelaki berhutang kurang RM1,000 dengan along, sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan selepas menjadi sasaran ugutan daripada peminjam wang haram berkenaan.
Chai Yoke Chun, 56, berkata, anak lelakinya yang berusia 27 tahun membuat pinjaman sebanyak RM1,000, namun hanya menerima wang RM600 sebelum diarahkan membayar semula pinjaman berjumlah RM15,000.
Katanya, kegagalan anaknya melunaskan jumlah berkenaan menyebabkan peminjam wang haram itu mula mengganggu mereka sekeluarga dengan pelbagai ugutan.
“Pada 19 Ogos lalu, saya ada menerima mesej daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Adi dan mendakwa anak saya masih belum menjelaskan pinjaman berkenaan.
“Saya memberitahu tidak dapat membayar wang itu kerana anak saya juga tidak tinggal bersama kami.
“Selepas itu, dia mengugut akan datang mengunci pintu pagar, membuang cat dan membakar rumah kami sehingga semua orang di dalam rumah mati jika bayaran tidak dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Yoke Chun, kebimbangan mereka menjadi kenyataan apabila seorang lelaki tidak dikenali dilihat berada di hadapan rumah mereka kira-kira pukul 4.45 pagi pada 21 Ogos lalu.
Katanya, suaminya yang menyedari kehadiran lelaki berkenaan terus menjerit menyebabkan suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti.
“Selepas keluar memeriksa keadaan di luar rumah, kami mendapati terdapat kesan cat merah di atas lantai dan cermin belakang kereta Perodua Axia.
“Turut ditemui dua botol berisi cat berwarna merah di atas lantai,” katanya.
Tambah ibu kepada tiga anak itu, tindakan anak bongsunya membuat pinjaman dengan along bukanlah kali pertama, malah sebelum ini dia pernah berbuat demikian sehingga memaksa dia dan abang sulung lelaki itu melunaskan pinjaman tersebut.
“Sejak perayaan Tahun Baharu Cina lagi dia enggan pulang ke rumah, bila saya hubunginya dan bertanyakan tentang pinjaman tersebut, dia cuma jawab tidak mampu bayar.
“Tindakan along mengugut menyebabkan saya dan suami yang merupakan orang hilang upaya (OKU) hidup dalam ketakutan kerana kami hanya tinggal berdua di rumah bersama abang ipar,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anak berhutang, ibu bapa diancam along appeared first on Kosmo Digital.


