PASIR PUTEH – Benarlah pepatah Melayu bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Didikan agama dan kecintaan terhadap al-Quran yang disemai sejak kecil oleh seorang imam kampung akhirnya membuahkan hasil apabila anak dan cucunya berjaya membolot dua kategori utama dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI Peringkat Daerah Pasir Puteh 2026 yang berlangsung di Dewan PPD Lama Pasir Puteh pada Jumaat, 29 Mei lalu.
Lebih manis, kejayaan tersebut dicatatkan oleh Sayuti Abdul Aziz, johan kategori dewasa dan Muhamad Aduka Putra Raziya, johan kategori sekolah menengah, merupakan anak dan cucu kepada Imam Abdul Aziz Mat, seorang tokoh agama yang pernah berkhidmat sebagai imam dan sangat dikenali dalam kalangan masyarakat di Kampung Gong Guchil dan Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh.
**media[3537292]**
Kedua-dua mereka mengakui kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada didikan agama yang kukuh dalam keluarga serta kecintaan terhadap al-Quran yang diterapkan sejak usia kanak-kanak oleh ibu bapa dan datuk mereka.
Pertandingan bertemakan “Membina Generasi al-Quran, Memperkasa Malaysia MADANI” itu menghimpunkan qari dan qariah daripada pelbagai kategori bagi mencungkil bakat baharu serta memperkukuh budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-63 Tahun 1445H/2023M.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Ketua Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Zamri Zainal Abidin, manakala Pengarah YADIM Negeri Kelantan, Yusnita Yusoff dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor, turut hadir memeriahkan program tersebut.
Didikan keluarga pendidik
Bagi kategori sekolah menengah, Muhamad Aduka Putra, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Nurul Ittifak, Pasir Puteh, muncul johan dengan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil.
Anak kelahiran Kampung Sungai Petai itu berasal daripada keluarga pendidik apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan guru Pendidikan Islam.
Bapanya, Ustaz Raziya Abdul Aziz, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Pengajian Melayu Universiti Malaya dan kini berkhidmat sebagai guru di SMU (A) Nurul Ittifak (SABK), Pasir Puteh.
Ibunya, Rusni Yusof, merupakan lulusan Diploma Pendidikan Islam Maktab Perguruan Besut serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Open University Malaysia (OUM) dan kini bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Kandis, Bachok.
Sejak kecil, Muhamad Aduka Putra mendapat bimbingan al-Quran secara langsung daripada bapanya, ibunya dan bapa saudaranya, Ustaz Sayuti bin Abdul Aziz.
**media[3537295]**
Menurut beliau, penglibatannya dalam bidang tilawah bermula sejak di bangku sekolah rendah dan beliau pernah mewakili daerah ke peringkat Negeri Kelantan bagi kategori sekolah menengah pada tahun 2025 selain aktif menyertai pertandingan anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Bagi menghadapi pertandingan kali ini, beliau menjalani latihan intensif di rumah sehingga lewat malam dengan bimbingan bapanya dan juga Ustaz Sayuti.
“Saya sangat gembira dan terharu apabila diumumkan sebagai johan. Saya berterima kasih kepada ibu bapa, ahli keluarga, guru-guru dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Beliau berkata hadiah kemenangan itu akan disimpan untuk kegunaan pendidikan manakala cita-citanya adalah untuk menjadi seorang ustaz dan menyumbang kepada masyarakat melalui pendidikan Islam.
Dari murid kampung kepada jurulatih negeri
Sementara itu, kemenangan kategori dewasa turut mencuri perhatian apabila dimenangi oleh bapa saudara beliau sendiri, Ustaz Sayuti Abdul Aziz, seorang Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang, Selangor.
Sayuti yang berasal dari Kampung Sungai Petai dan kini menetap di Taman Harmoni, Kajang membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta sijil selepas menewaskan peserta lain dalam kategori dewasa.
Menariknya, walaupun terkenal sebagai jurulatih tilawah dan hafazan yang berpengalaman, pertandingan ini merupakan penampilan pertamanya sebagai peserta dalam pertandingan tilawah selepas bertahun-tahun memberi tumpuan kepada bidang bimbingan dan latihan.
Menurut beliau, perjalanan dalam bidang al-Quran bermula sejak tahun 1993 ketika belajar di Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Petai.
“Saya mula belajar mengaji dengan ayah dan ibu. Kedua-duanya bukan sahaja mengajar al-Quran malah mempunyai kemahiran dalam bidang tarannum serta membimbing ramai pelajar dari dalam dan luar kampung,” katanya.
Ketika melanjutkan pelajaran di Maahad Saniah Pasir Puteh pada tahun 1999, beliau berguru dengan Ustaz Muhammad Suhaidi Ismail, seorang qari negeri Kelantan yang menetap di Pasir Puteh.
Sejak tahun 2000, beliau aktif dalam bidang tilawah dan pernah beberapa kali memperoleh kedudukan yang baik dalam pertandingan tilawah peringkat negeri Kelantan.
Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Bainun, Pulau Pinang sebelum memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tanjong Manis, Sarawak pada tahun 2011.
Selepas hampir lima tahun berkhidmat di Sarawak, beliau berpindah ke Selangor pada penghujung tahun 2015 dan mula mendalami bidang tarannum secara lebih serius.
Beliau kemudiannya berguru dengan beberapa tokoh terkenal termasuk Dr Anuar Hasin, Allahyarham Abdul Rahim Ahmad serta Ustaz Muhammad Anuar Ghazali, Johan Qari Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2012.
Sehingga kini, beliau masih mengikuti pengajian dan latihan tarannum secara berterusan di bawah bimbingan Ustaz Muhammad Anuar di Masjid Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, selain sesi latihan mingguan secara dalam talian.
Selain pernah menyertai pertandingan tilawah di peringkat sekolah menengah, universiti dan institut pendidikan guru, beliau juga pernah mewakili Sarawak dalam pertandingan tilawah negeri pada tahun 2013 sebelum tidak lagi menyertai mana-mana pertandingan untuk tempoh yang lama.
“Selepas itu saya lebih banyak menjadi jurulatih dan pembimbing. Namun kali ini saya tergerak hati untuk mencuba nasib di pentas Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI,” katanya.
Selain bertugas sebagai guru, beliau kini merupakan Jurulatih Tilawah Negeri Selangor yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan pernah membimbing peserta tilawah serta hafazan negeri itu sehingga meraih gelaran Johan Kebangsaan pada tahun 2025.
Beliau juga aktif melatih peserta tilawah sekolah rendah dan sekolah menengah yang mewakili peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan setiap tahun.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan ini. Walaupun sudah lama tidak bertanding, Allah memberi peluang untuk saya bersaing dengan qari-qari muda yang sangat berbakat dan akhirnya diumumkan sebagai johan,” katanya.
Menurut beliau, hadiah kemenangan tersebut akan dikongsi bersama ahli keluarga yang memerlukan.
Mengulas kejayaan membolot dua kategori utama oleh keluarganya, Sayuti berkata kejayaan itu merupakan satu nikmat besar yang amat disyukuri.
“Kami sangat bersyukur kerana sejak kecil dididik mencintai al-Quran oleh ayah dan datuk kami, Imam Abdul Aziz. Beliaulah yang menjadi inspirasi utama keluarga kami untuk sentiasa mendekati al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup.
“Kemenangan ini bukan milik kami semata-mata, tetapi hadiah buat ibu bapa, keluarga serta guru-guru yang mendidik kami sejak kecil,” katanya.
Kisah inspirasi johan sekolah rendah
Sementara itu, kategori sekolah rendah dimenangi oleh Nor Qalish Aqiff Norazlan, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, yang membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil.
Lebih menyentuh hati, Aqiff serta seorang abang dan seorang kakaknya dibesarkan sendirian oleh ibunya, Fara Haryanti Mat Zain, yang merupakan ibu tunggal sejak lebih 11 tahun lalu.
Mereka kini menetap di Banir Belikong, Selising, dalam sebuah rumah yang dibina dengan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Kehidupan keluarga itu banyak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sokongan saudara-mara.
Menurut Fara Haryanti, minat Aqiff terhadap al-Quran telah terserlah sejak kecil dan beliau sering menghabiskan masa mendengar serta meniru bacaan qari-qari terkenal.
“Pengalaman pertandingan sebelum ini hanya di peringkat sekolah. Beberapa bulan lalu, guru-guru mula memberi peluang kepadanya menyertai pertandingan yang lebih besar. Alhamdulillah, dia berjaya menjadi johan peringkat sekolah dan seterusnya johan peringkat daerah,” katanya.
Aqiff mendapat bimbingan al-Quran daripada ibu saudaranya, Noraini Mat Zain, seorang suri rumah yang banyak membantunya memperbaiki bacaan dan tajwid.
Menurut ibunya lagi, tiada persiapan luar biasa dilakukan menjelang pertandingan, sebaliknya Aqiff hanya berlatih setiap hari memperkemaskan tajwid dan tarannum selain sering menonton video-video tilawah di media sosial sebagai bahan pembelajaran.
“Dia memang suka mengaji sejak kecil. Bila diumumkan sebagai johan, dia sangat gembira kerana tidak menyangka boleh menang.
“Sebagai ibu, saya berharap Aqiff terus istiqamah dengan al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup walau ke mana pun dia melangkah,” katanya.
Dianjur hasil inisiatif masyarakat setempat
Di sebalik kejayaan penganjuran Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI Peringkat Daerah Pasir Puteh 2026, terdapat usaha gigih seorang aktivis masyarakat yang mahu melihat syiar al-Quran terus berkembang dalam kalangan rakyat.
Program berkenaan dicetuskan dan diuruskan sepenuhnya oleh Pengerusi Komuniti MADANI Sri Aman, Pasir Puteh, Kamaruddin Mat Zin, yang mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan tersebut atas rasa tanggungjawab untuk memperkasakan budaya al-Quran dalam masyarakat.
Menurut beliau, keseluruhan kos penganjuran ditanggung sendiri demi memastikan program itu dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Kita melihat sambutan masyarakat terhadap program al-Quran sebenarnya sangat memberangsangkan. Sebaik sahaja hebahan pertandingan dibuat, ia terus menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat Pasir Puteh.
“Ini menunjukkan masyarakat masih mempunyai minat yang tinggi terhadap al-Quran dan program-program yang berteraskan pembinaan insan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 53 peserta telah mendaftar untuk menyertai pertandingan tersebut melibatkan 17 peserta kategori dewasa, 25 peserta kategori sekolah menengah dan 11 peserta kategori sekolah rendah.
Bagi memastikan hanya peserta terbaik mara ke peringkat akhir, sesi saringan telah diadakan selama dua hari sebelum memilih lima finalis kategori dewasa, empat finalis kategori sekolah menengah dan empat finalis kategori sekolah rendah.
Menurut Kamaruddin, beliau berharap pertandingan tersebut dapat dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke seluruh daerah di Kelantan.
“Saya yakin jika musabaqah seperti ini dianjurkan secara konsisten setiap tahun di semua daerah, kita mampu melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti yang boleh mewakili daerah, negeri malah negara pada masa hadapan.
“Pasir Puteh hanyalah permulaan. Saya berharap program ini dapat menjadi pencetus kepada penganjuran musabaqah yang lebih besar di seluruh Kelantan,” katanya.
Kejayaan Sayuti, Muhamad Aduka Putra dan Nor Qalish Aqiff dalam pertandingan ini membuktikan bahawa kecintaan terhadap al-Quran mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bacaan, malah mempunyai akhlak, disiplin dan jati diri yang tinggi.
Lebih daripada sekadar pertandingan, Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI Pasir Puteh 2026 telah memperlihatkan bagaimana didikan keluarga, sokongan masyarakat dan semangat cintakan al-Quran mampu melahirkan bakat-bakat luar biasa yang berpotensi mengharumkan nama daerah, negeri dan negara pada masa hadapan.

