Anak dakwa kecewa ibu kena ‘sidai’ 3 jam di Hospital Pontian

LocalHealth & Fitness
20 Aug 2026 • 10:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak dakwa kecewa ibu kena ‘sidai’ 3 jam di Hospital Pontian

PONTIAN – Hospital Pontian (HP) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang anak yang mendakwa kecewa dengan layanan diterima ibunya ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan pada 16 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah HP, Dr. R. Parameswaran bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.

Menurutnya, pihaknya masih belum dapat memberikan ulasan lanjut kerana menunggu laporan penuh daripada pihak hospital.

“Pihak HP sedang membuat siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan ringkas kepada Kosmo!, semalam.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial menggunakan nama @Bella Hanna Art mendakwa ibunya terpaksa menunggu kira-kira tiga jam setengah sebelum mendapat rawatan di Unit Kecemasan HP.

Menurut Bella, dia membawa ibunya ke bahagian kecemasan kira-kira pukul 11.50 pagi selepas wanita itu mengalami bengkak pada bahagian kaki dipercayai berkaitan penyakit buah pinggang yang dihidapinya.

Katanya, selepas lama menunggu tanpa dipanggil, dia bertanya kepada kakitangan di kaunter berhubung keadaan ibunya, namun hanya diminta menunggu sehingga dipanggil.

“Selepas tiga kali bertanya, barulah kakitangan tersebut membenarkan ibu saya masuk bertemu doktor. Ujian imbasan X-ray kemudian mendapati jantung ibu saya bengkak dan dipenuhi air,” dakwanya.

Bella mendakwa, doktor bertugas memaklumkan keadaan berkenaan adalah normal bagi pesakit buah pinggang sebelum meminta dia membawa ibunya pulang ke rumah.

Bagaimanapun, tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan, Bella kemudian membawa ibunya ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital berkenaan, ibunya terus dibawa ke unit kecemasan dan diperiksa doktor bertugas.

“Doktor bertugas memberitahu, jika lambat membawa emak saya, mungkin sudah tiada,” katanya dengan nada kesal.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih dalam siasatan pihak HP dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga laporan penuh mengenai kejadian itu diperoleh. – KOSMO! ONLINE

The post Anak dakwa kecewa ibu kena ‘sidai’ 3 jam di Hospital Pontian appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved