Anak harimau dahan ditemui dalam reban itik serati

15 Dec 2025 • 3:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota APM menunjukkan anak harimau dahan yang ditangkap di Kampung Sungai Mas, Kuala Krai pada Ahad. Foto: APM
image is not available
Anak harimau dahan yang ditangkap.

KUALA KRAI – Kehadiran seekor anak harimau dahan di dalam reban itik serati berhampiran sebuah rumah penduduk mencetuskan kebimbangan di Kampung Sungai Mas, Bechah Salak di sini pada Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.27 tengah malam berhubung kehadiran haiwan liar berbahaya terbabit di kawasan berhampiran Masjid Bechah Salak.

Susulan laporan itu beliau berkata, seramai empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai telah dikerahkan ke lokasi kejadian pada jam 12.33 tengah malam.

**media[3372133]**

“Hasil pemantauan mendapati seekor anak harimau dahan berada di dalam reban itik serati berhampiran sebuah rumah penduduk.

“Pasukan APM kemudian melaksanakan operasi tangkapan menggunakan peralatan penjerut dan berjaya menangkap haiwan tersebut dalam tempoh kira-kira sembilan minit secara selamat serta terkawal,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Abd Fatah memberitahu, anak harimau dahan berkenaan kemudiannya dimasukkan ke dalam sangkar sementara sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Krai.

Tambahnya, haiwan liar itu seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.