
PETALING JAYA: Stigma ibu bapa terhadap anak-anak istimewa kini semakin berubah dengan lebih ramai daripada mereka menerima dan bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas.
Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata ia hasil daripada pelbagai program untuk kanak-kanak istimewa yang dibangunkan oleh masyarakat termasuk sekolah swasta bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa.
“Walaupun kita masih ketinggalan berbanding negara lain seperti Australia dari segi memiliki sistem yang bersesuaian untuk kanak-kanak berkeperluan khas, saya akui bahawa stigma itu telah berubah.
“Ibu bapa hari ini amat menerima dan bersedia (menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas), jadi perjalanan kita sudah bermula walaupun masih jauh,” katanya ketika ditemui di sambutan Hari Autisme Yayasan RYTHM di Sekolah Taarana di sini hari ini.
Sekolah Taarana, iaitu pusat bagi kanak-kanak berkeperluan khas yang diwujudkan pada Mei 2011 oleh Yayasan RYTHM, merupakan inisiatif impak sosial Kumpulan QI untuk menyokong persekitaran pendidikan inklusif sekali gus membuka jalan kepada akses sama rata bagi pendidikan berkualiti untuk semua kanak-kanak.
Umayal berkata data menunjukkan bahawa seorang daripada 44 kanak-kanak dilahirkan dengan keperluan khas, yang mencetuskan kebimbangan terhadap perlunya dasar bersesuaian daripada kerajaan bagi membantu ibu bapa secara menyeluruh.
“Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh mengenepikan fakta tersebut dan perlu menerimanya, tetapi untuk menerimanya kita memerlukan dasar tentang bagaimana untuk mengintegrasikan mereka (kanak-kanak berkeperluan khas) ke dalam masyarakat.
“Kita memerlukan institusi kerajaan dan industri perubatan memperakuinya (keperluan mempunyai dasar bersesuaian). Ini sesuatu yang perlu kita usahakan kerana pada masa ini kita tidak memilikinya,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Autisme yang diadakan, Umayal berkata ia lebih kepada untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan berkeperluan khas dan perubahan sikap serta amalan yang berkaitan dengan anak-anak istimewa ini.
Dihadiri ibu bapa, guru, ahli lembaga pengarah dan eksekutif kanan Kumpulan QI, acara yang berlangsung selama tiga jam itu diisi dengan perkongsian oleh ibu bapa tentang bagaimana Sekolah Taarana memberi kesan positif kepada anak-anak mereka.
Pelajar juga terlibat dalam pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak “neurodivergent” dan “neurotypical” seperti seni teka-teki dan yoga serta persembahan. -Bernama



