Anak kita dalam buruan pemangsa siber

TechnologyFamily & Parenting
22 May 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anak kita dalam buruan pemangsa siber
Anak-anak perlu diajar tidak semua 'kawan online' itu selamat. Mereka mesti memahami bahaya berkongsi gambar peribadi, lokasi dan maklumat keluarga. Foto hiasan

DAHULU, ancaman terhadap kanak-kanak sering dibayangkan hadir dalam bentuk 'orang asing' di taman permainan, lorong gelap atau van mencurigakan di hadapan sekolah. Hari ini, pemangsa itu hadir melalui skrin telefon pintar.

Akhbar ini dalam satu laporan khas mendedahkan taktik licik pedofilia siber memanipulasi kenaifan anak-anak generasi gajet melalui telefon pintar, media sosial dan aplikasi sembang tanpa disedari keluarga.

Lebih menakutkan, 1.47 juta fail bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dikesan menerusi siri operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sejak tahun lalu.

Pedofilia merujuk mereka yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Apa yang diperlukan ialah strategi pencegahan lebih menyeluruh.

Pertama, pendidikan literasi digital dijadikan keutamaan di sekolah dan di rumah. Anak-anak perlu diajar tidak semua 'kawan online' itu selamat. Mereka mesti memahami bahaya berkongsi gambar peribadi, lokasi dan maklumat keluarga.

Kedua, ibu bapa perlu dididik semula. Ramai masih menganggap kawalan ibu bapa pada peranti sebagai sesuatu mengongkong, sedangkan hakikatnya ia perlindungan asas. Memeriksa telefon anak bukan bermakna tidak percaya, tetapi tanda tanggungjawab.

Ketiga, platform media sosial dan aplikasi sembang tidak boleh terus lepas tangan atas nama privasi pengguna. Jika syarikat teknologi mampu mengesan iklan mengikut minat pengguna beberapa saat, mustahil tidak mampu memperkukuhkan pengesanan aktiviti eksploitasi seksual kanak-kanak secara lebih agresif.

Paling penting, masyarakat perlu berhenti bersikap sambil lewa. Kita terlalu cepat panik apabila berlaku culik di depan mata, tetapi terlalu tenang apabila anak-anak 'dikunci' berjam-jam dalam dunia maya tanpa pemantauan.

Sedangkan hari ini, bilik tidur yang kelihatan paling selamat dalam rumah pun boleh menjadi pintu masuk pemangsa seksual digital. Hakikatnya teknologi yang mendekatkan manusia kini turut memudahkan pemangsa mendekati anak-anak kita.

Beringatlah, jika dahulu kita takut anak bermain jauh dari rumah, hari ini ancaman sebenar sebenarnya sudah berada di dalam rumah.

View Original Article