
JAKARTA – Gunung berapi Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda di antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera meletus pagi tadi, dengan bunyi dentuman kedengaran dari pos pemerhatian ketika pihak berkuasa melaporkan aktiviti hamburan lahar.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, letusan bermula pukul 11.07 malam (waktu tempatan) semalam dan berterusan hingga pukul 6 pagi tadi.
Menurutnya, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melakukan penilaian bahawa struktur Anak Krakatau agak kecil dan tidak dianggap mampu mengalami runtuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami, susulan kebimbangan penduduk di kawasan pantai.
“Kerajaan sedang menangani kebimbangan orang ramai, khususnya di sepanjang pantai Banten dan Lampung mengenai kemungkinan tsunami yang dikaitkan dengan letusan Anak Krakatau berdasarkan pengalaman mereka ketika tsunami pada 22 Dis 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anak Krakatau yang secara pentadbiran terletak di Kabupaten Lampung Selatan, wilayah Lampung, kekal pada amaran tahap tiga, dengan pihak berkuasa mengekalkan zon larangan sejauh 3 kilometer di sekitar kawah aktifnya.
“Orang ramai diminta tidak menghampiri kawasan gunung berapi untuk melihat letusan atau merakam gambar atau video memandangkan risiko hamburan bahan vulkanik dari kawah aktif,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 650 orang daripada 208 keluarga didaftarkan sebagai mangsa yang dipindahkan susulan peningkatan aktiviti Gunung Sinabung di Kabupaten Karo, wilayah Sumatera Utara selepas letusan pada 31 Ogos lalu. – BERNAMA
The post Anak Krakatau meletus, penduduk bimbang tsunami appeared first on Kosmo Digital.
