
JAKARTA – Tindakan kejam seorang lelaki yang tergamak membuang seekor anak kucing dari tingkat lima sebuah rumah pangsa di Kota Probolinggo, wilayah Jawa Timur mencetuskan kecaman hebat selepas rakaman kejadian tular di media sosial, lapor laman berita portaljtv.
Anak kucing betina berusia empat bulan berbulu kelabu dinamakan Melly itu disahkan mati di tempat kejadian selepas terjatuh di tempat letak motosikal tingkat bawah bangunan.
Berdasarkan maklumat, perbuatan kejam itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) milik seorang penghuni.
Rakaman menunjukkan suspek membuang haiwan itu kini tersebar luas di platform media sosial
Suspek dikenali sebagai ANG dilaporkan merupakan jiran perakam dan menetap di tingkat lima bangunan sama.
Pemilik haiwan tersebut, Nafiah berkata, dia menjaga Melly sejak kecil lagi.
Selama empat bulan, kehadiran anak kucing itu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian keluarganya.
Mengulas mengenai punca kejadian, Nafiah memberitahu, suspek dipercayai berang selepas Melly membuang air di dalam biliknya. – AGENSI
The post Anak kucing mati dibuang dari tingkat lima appeared first on Kosmo Online.
