
KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berdepan detik cemas apabila anak lelakinya diserang di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Menurut beliau, insiden tersebut berlaku sekitar jam 1.45 petang tadi, semasa isteri dan anaknya memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli belah berkenaan.
Rafizi berkata, anak lelakinya itu secara tiba-tiba diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya,” katanya.
Jelas beliau, kedua-dua suspek telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anaknya pada ketika yang sesuai.
“Anak saya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan. Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarganya melalui kejadian ini.
“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian.
"Kejadian tersebut berlaku...ketika mangsa dilaporkan bersama ibunya dan pemandu mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Shazeli berkata mangsa ialah seorang kanak-kanak lelaki dan kini masih dalam pemeriksaan lanjut di sebuah hospital di Selangor.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian. - Getaran, 13 Ogos 2025
