‘Anak MARA pergi selamanya’ – Asyraf Wajdi

6 Sep 2025 • 12:49 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Foto yang dimuat naik di laman Facebook Asyraf Wajdi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang meragut lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu dalam kemalangan di Jalan Sulaman, berhampiran Pusat Latihan Rela, Tuaran, pada Jumaat.

Menurutnya, beliau menerima perkhabaran menyedihkan itu sebaik pulang dari Sabah.

“Saya dimaklumkan Pengarah MARA Sabah bahawa kelima-lima pelajar lelaki berusia 19 hingga 20 tahun terlibat dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 2 petang.

“Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan treler. Difahamkan, mangsa tersepit di dalam kenderaan Toyota Wish sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dr Asyraf turut memaklumkan bahawa pihak MARA Sabah dan pengurusan IKM Kota Kinabalu sudah diminta menghubungi keluarga mangsa untuk membantu segala urusan, termasuk kelancaran proses pengebumian.

“Takziah kepada keluarga mangsa, semoga roh kelima-lima anak MARA ini ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.