Anak Masuk Prasekolah 2026? Ibu Bapa Jangan Terlepas Maklumat Penting Ni

Family & Parenting
28 Nov 2025 • 4:48 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Anak Masuk Prasekolah 2026? Ibu Bapa Jangan Terlepas Maklumat Penting Ni

Peringkat prasekolah selalu dijadikan sebagai penentu dalam perjalanan pendidikan seorang kanak-kanak. Mana tidaknya, ketika inilah mereka pertama kali dalam keadaan formal dilatih untuk bermesra dengan ilmu pengetahuan. Tambahan lagi, ketika peringkat usia ini juga minda mereka mudah dibentuk, hati mereka juga terbuka untuk menerima apa sahaja yang dilontarkan, terutamanya nilai-nilai murni dan personaliti mula berkembang.

Rentetan daripada perkara inilah, pelbagai usaha dirancang dan dijalankan bagi membentuk karakter seorang kanak-kanak seawal di peringkat prasekolah lagi. Pembentukan karakter ini bukanlah sekadar tambahan nilai terhadap kanak-kanak melalui ilmu pengetahuan, tapi turut merangkumi pembentukan akhlak mulia dan sejahtera.

Ibu Bapa Kena Tahu Perkara Ini Jika Ada Anak Masuk Prasekolah Tahun 2026

Menjelang masuknya tahun 2026 dan takwim sesi persekolahan yang bermula pada awal tahun hadapan, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang bakal menduduki tempat di prasekolah perlu cakna dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara kita. Untuk maklumkan ibu bapa, bermula tahun hadapan, kanak-kanak prasekolah akan diperkenalkan dengan pendekatan yang lebih holistik dan berfokuskan kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Perkara tersebut adalah Kurikulum Prasekolah 2026 yang bermatlamat melahirkan murid sihat dalam aspek fizikal, mental dan kerohanian.

image is not available

Kurikulum Prasekolah 2026

Kurikulum Prasekolah 2026 mempunyai teras yang mana akan merangkumi aspek komunikasi, bersosialisasi, berkeyakinan diri dan memiliki keinginan untuk belajar dalam kalangan anak-anak prasekolah.

Kurikulum Prasekolah 2026 digubal berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, yang bermaksud selain menguasai pengetahuan dan kemahiran asas, murid juga dilatih untuk mengaplikasikan nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai yang diberi penekanan termasuk:

  • Kasih sayang dan empati — melalui aktiviti berkongsi, bekerjasama dan memahami perasaan rakan.
  • Daya tahan dan ketabahan — dibentuk melalui cabaran sederhana dalam pembelajaran dan permainan.
  • Keyakinan diri — dipupuk melalui persembahan, bercerita dan menyelesaikan masalah secara kendiri.
  • Rasa ingin tahu dan minat belajar — digalakkan melalui penerokaan, soalan dan pengalaman hands-on.
  • Rasa bertanggungjawab dan amanah — diterapkan melalui amalan harian seperti memberikan murid peranan tertentu (contohnya menjadi petugas pada waktu rehat), yang membolehkan mereka mengembangkan sikap positif.

Pembentukan Karakter Melalui Kurikulum Prasekolah 2026

Melalui nilai-nilai yang diterapkan melalui Kurikulum Prasekolah 2026 ini, karakter akan terbina dengan asas murni seperti empati, kasih sayang, hormat, amanah dan tanggungjawab dalam diri setiap murid prasekolah. Tapi, bagaimana pula karakter ini boleh dibentuk ketika di prasekolah?

Untuk pengetahuan ibu bapa sekalian, pembentukan karakter tidak hanya diajar secara teori, tapi turut meliputi kaedah praktikal.

Seperti contoh melalui rutin harian, murid prasekolah akan ‘dimesrakan’ dengan ucapan terima kasih, meminta maaf dan tolong menolong bagi membentuk sifat hormat menghormati dan kasih sayang. Selain itu, aktiviti bercerita juga akan membimbing murid untuk membuat pertimbangan dan pilihan yang betul. Antara sifat lain yang ditunjukkan oleh guru dan rakan sebaya akan dijadikan model dalam mengamalkan sifat positif. Aktiviti berkumpulan dan bermain juga secara tidak langsung akan memupuk sifat bekerjasama dan dalam masa sama akan mampu untuk mengenal pasti potensi diri.

image is not available

Apa Peranan Ibu Bapa Dan Guru

Tugas pembentukan karakter murid-murid prasekolah bukan hanya terbatas kepada guru sahaja, tapi peranan ibu bapa juga sangat memberi impak besar kepada perkara itu. Ibu bapa sangat digalakkan untuk terlibat aktif dan sokong apa yang dipelajari anak di prasekolah. Perkara ini supaya wujudnya kesinambungan serta pengukuhan amalan nilai antara sekolah dan rumah.

Guru pula berperanan untuk membimbing dan menjadi model, tidak kiralah dari segi kata-kata, tindakan dan juga pendekatan pengajaran yang penyayang. Setiap tingkah laku guru sentiasa diperhatikan murid, oleh itu juga mereka perlu sentiasa mengimplementasikan sifat-sifat positif berkenaan.

Secara kesimpulannya, pembentukan karakter di prasekolah perlulah diambil perhatian sepenuhnya oleh para guru dan juga ibu bapa. Perkara ini kerana karakter yang dipenuhi nilai positif perlulah dimiliki oleh setiap kanak-kanak. Kita juga boleh menganggap bahawa usaha ini adalah titik mula untuk melahirkan generasi yang dapat menyesuaikan diri untuk menghadapi pelbagai lagi cabaran di masa hadapan kelak.

The post Anak Masuk Prasekolah 2026? Ibu Bapa Jangan Terlepas Maklumat Penting Ni appeared first on Siakap Keli.