Anak merajuk, kemas beg bukan bahan jenaka

Family & Parenting
6 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak merajuk, kemas beg bukan bahan jenaka

Tindakan meninggalkan rumah dek kerana rajuk hati atau kecewa bukan sahaja membabitkan golongan remaja, malah turut berlaku dalam kalangan individu dewasa.

Meskipun kes disifatkan sebagai terpencil, tetapi tetap me­nimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan serta keadaan emosi mereka tatkala hilang dari radar pandangan keluarga.

Dalam situasi sedemikian, keluarga lazimnya berdepan dilema sama ada perlu memberi ruang kepada individu terbabit untuk menenangkan diri atau terus berusaha memujuknya pulang.

Persoalannya, sejauh mana tindakan ‘memberi ruang’ itu wajar dan apakah pendekatan terbaik untuk memujuk hati individu dewasa yang sedang rajuk tanpa membuatkan mereka berasa semakin terpinggir?

Bagi mengupas punca, pendekatan terbaik keluarga serta kepentingan mendapatkan bantuan profesional dalam menangani konflik ini, ikuti wawancara Wartawan Kosmo! Ahad, Noor Has­liza Nusi dan jurugambar, Danial Saad bersama Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pe­ngajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah.

KOSMO! AHAD: Dalam kea­daan seseorang keluar rumah kerana merajuk atau berselisih faham dengan keluarga, siapa yang sepatutnya mengambil ­langkah pertama untuk berdamai?
SYED MOHAMAD: Pihak yang lebih matang dalam konteks ini adalah ibu bapa atau ahli keluarga yang perlu mengambil langkah pertama.

Sema­kin rapat hubungan seseorang dengan keluarga, semakin sensitif mereka apabila berlaku pertelingkahan.

Jika tiada pihak yang berusaha mendamaikan keadaan, konflik boleh berlarutan sehingga bertahun-tahun. Jadi, jangan biarkan ego menyebabkan kedua-dua pihak menunggu siapa yang akan meng­hubungi dahulu.

Ada ibu bapa beranggapan anak perlu diberi ruang untuk cool down. Berapa lama ruang itu sesuai diberikan?
Kalau anak sedang marah atau merajuk, memberi ruang sehari atau dua hari boleh dipertimbangkan, tetapi ia bukan bermaksud ibu bapa boleh terus tidak mengambil tahu.

Paling penting, keluarga perlu mengetahui keberadaan anak dan memastikan dia berada dalam keadaan selamat.

Dalam tempoh itu, ibu bapa boleh bertanya khabar atau berhubung melalui orang tengah sekiranya anak tidak mahu bercakap secara langsung.

Bagaimana pula sekiranya anak menganggap ibu bapa tidak menghubungi bermakna mereka sudah tidak menya­yangi?
Keadaan ini sebenarnya berlaku akibat salah faham atau komunikasi yang tidak jelas. Anak mungkin berfikir, ‘saya sudah hilang sehari tetapi mak ayah tidak cari, mungkin mereka tidak sa­yang saya.’

Sedangkan ibu bapa pula beranggapan mereka sedang memberi ruang. Sebab itu ibu bapa tetap perlu menunjukkan bahawa mereka mengambil berat walaupun anak tidak membalas panggilan atau mesej.

Jangan putus asa untuk berhubung dan membiarkan anak terus menjadi tanda tanya sehingga sukar menemui jalan pendamaian.

Jika anak enggan bercakap dengan ibu bapa, bolehkah keluarga menggunakan orang tengah untuk memujuknya?
Ya, malah pendekatan orang tengah sangat membantu. Ia boleh terdiri daripada adik-beradik, saudara-mara, guru atau kawan rapat yang merupakan individu paling dipercayai oleh anak.

Kadangkala anak lebih mudah mendengar nasihat daripada individu yang rapat dengannya berbanding ibu bapa ketika sedang marah.

Namun, ibu bapa tidak boleh berputus asa hanya kerana anak tidak mahu bercakap secara langsung.

Apakah perkara yang perlu dielakkan ibu bapa ketika memujuk anak yang merajuk atau keluar rumah?
Ibu bapa perlu mengawal emosi dan mengelakkan memaki hamun, ugutan atau kata-kata yang boleh memburukkan kea­daan.

Sebaliknya, gunakan perkataan yang positif seperti me­minta maaf jika ada kesilapan dan memberitahu anak bahawa keluarga merindui serta mahu dia pulang.

Kata-kata yang baik itu menjadi isyarat kepada anak bahawa keluarganya masih mengambil berat dan mahukan dia kembali.

Bagaimana ibu bapa boleh menggunakan pendekatan ‘memberi ruang’ tanpa membuat anak berasa seperti dibuang keluarga?
Memberi ruang bukan bermaksud membiarkan anak begitu sahaja. Ibu bapa masih perlu mengetahui keberadaannya, bertanya khabar dan memastikan keselamatannya.

Dalam keadaan tertentu, keluarga boleh berkompromi dengan menghormati keperluan anak untuk menenangkan diri, tetapi pada masa sama menunjukkan bahawa pintu rumah sentiasa terbuka untuknya kembali.

Sejauh mana kandungan media sosial yang memaparkan aksi ‘lari rumah’ sebagai bahan jenaka boleh mempengaruhi kanak-kanak dan remaja?
Pengaruhnya boleh menjadi tidak sihat kerana kanak-kanak dan remaja banyak belajar melalui peniruan.

Apabila mereka melihat perbuatan merajuk, mengemas beg dan keluar rumah dijadikan bahan jenaka atau kandungan untuk hiburan, mereka mungkin menganggap tindakan itu sesuatu yang biasa atau menyeronokkan sedangkan perkara tersebut sebenarnya mempunyai implikasi yang lebih serius apabila melibatkan individu yang lebih dewasa dan mempunyai pilihan sendiri.

Apakah perbezaan kanak-kanak dan remaja lari rumah atau orang dewasa yang keluar disebabkan konflik keluarga?
Kanak-kanak masih banyak bergantung kepada keluarga dari segi keselamatan, tempat tinggal, makanan dan kasih sayang. Sebab itu mereka biasanya mempunyai kecenderungan untuk kembali.

Tetapi apabila seseorang itu ma­kin dewasa, dia mempunyai lebih banyak pilihan dan boleh mendapat sokongan daripada rakan-rakan. Jika keperluan emosi dan sosialnya sudah dipenuhi di luar rumah, dia mungkin lebih sukar dipujuk untuk pulang.

Apabila seseorang yang lari atau keluar rumah akhirnya pulang, adakah masalah itu dianggap selesai atau mereka masih memerlukan khidmat kaunseling?
Sokongan kaunseling sangat wajar diberikan. Perbuatan keluar rumah biasanya dibuat ketika individu berada dalam keadaan marah, kecewa atau terlalu kecil hati.

Kaunseling membantu mereka melihat semula pilihan yang ada, memahami implikasi tindakan dan membuat keputusan secara lebih rasional.

Jika mereka hanya pulang tanpa menyelesaikan punca konflik, masalah itu boleh menjadi ‘urusan yang belum selesai’ dan dikhuatiri akan berulang pada masa akan datang.

Sebagai pakar, apa nasihat kepada mereka yang berdepan situasi anak atau ahli keluarga dewasa keluar rumah kerana merajuk?
Jangan biarkan ego dan salah faham menyebabkan hubungan terputus. Keluarga perlu menun­jukkan mereka masih mengambil berat, walaupun memberi ruang kepada individu berkenaan untuk bertenang. Jika sukar berkomunikasi secara langsung, gunakan orang tengah yang boleh dipercayai.

Selepas dia pulang, jangan sekadar menganggap masalah sudah selesai, sebaliknya duduk dan berbincang secara terbuka tentang masalah yang berlaku.

Jika keadaan sukar dikendalikan, dapatkan bantuan kaunseling keluarga supaya konflik itu benar-benar diselesaikan, bukan sekadar dibiarkan reda buat sementara waktu.

The post Anak merajuk, kemas beg bukan bahan jenaka appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved