Anak muda bebas menegur, tapi perlu berteraskan ilmu dan akhlak - Anwar

LocalPolitics
15 May 2026 • 1:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anak muda bebas menegur, tapi perlu berteraskan ilmu dan akhlak - Anwar
Anwar (tiga dari kanan) memegang buku Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 ketika Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Tidak salah golongan muda memberi teguran kepada kerajaan namun ia perlu berpaksikan kepada ilmu, prinsip serta keutuhan akhlak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka menerima sebarang kritikan selagi ia disandarkan kepada prinsip serta disampaikan dengan cara berhemah.

"Sebab itu saya katakan pemikiran kritis itu harus ada. Dalam beberapa pertemuan, mereka (anak muda) memberi teguran kepada bapa-bapa mereka, malah kepada Perdana Menteri. Kita harus terima dengan baik kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan.

“Kita mahu anak muda kita berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak itu mesti ada kerana kita juga tidak terlepas dengan kesulitan dan permasalahan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain itu beliau berkata, walaupun dunia kini sedang berdepan dengan krisis di Asia Barat yang memberi kesan kepada banyak perkara, namun Malaysia dapat mendepaninya dengan baik.

Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila terdapat segelintir pihak khususnya dalam kalangan pembangkang yang berterusan mengkritik dan menolak fakta tersebut.

“Saya dengar ada satu pidato, pertama dia bayangkan saya dengan Abu Jahal. Kedua, dia kata tidak ada pembangunan, kononnya negara dan ekonomi hancur. Ini dia belajar 'kitab' mana pun saya tidak tahu.

“Ini sebabnya hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran kritis yang didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu serta akhlak. Inilah pesanan saya kepada anak-anak muda,” katanya.

Anwar berkata, pentingnya semua pihak berlapang dada dan setiap perkara perlu diselesaikan secara musyawarah demi mencapai muafakat yang baik untuk negara.

"Menyelesaikan masalah rakyat perlu menjadi keutamaan semua, bukannya soal perebutan kuasa.

"Negara kita hadapi masalah, fokusnya permasalahan rakyat bukan perebutan, kerana ada masa dalam sistem kita iaitu pilihan raya adalah gelanggangnya.

"Tapi sekarang adalah masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian,"katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk Majlis Belia Malaysia(MBM) dan merasmikan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 dan Rakan Muda Madani.