
BUAT pertama kali berdepan masyarakat yang tidak membesar dalam lingkungan Islam, Muhammad Luqman Hayat Abd. Rani sedar bahawa menyampaikan dakwah bukan sekadar tentang apa yang ingin disampaikan, tetapi bagaimana seseorang itu mahu mendengarnya.
Pengalaman menyertai aktiviti dakwah di Jepun dan Korea Selatan bersama Youth of Strength & Happiness (YOSH) di bawah MyFundAction bersama Changemakers & Cultural Exchange Community Festival 2026 itu memperkenalkan dirinya kepada pendekatan dakwah yang berbeza daripada apa yang dilaluinya sebelum ini.
Mempunyai latar belakang sekolah agama, Muhammad Luqman, 20, sedar bahawa dakwah bukan sekadar mengajak seseorang menunaikan solat atau datang ke masjid, sebaliknya memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan individu didekati.
“Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL), saya biasa mengajak atau mengajar kenalan tentang perkara asas agama, namun keadaan berbeza apabila saya pertama kali berdakwah di Jepun dan Korea Selatan.
“Bila berhadapan dengan masyarakat bukan majoriti Muslim, saya belajar untuk mendekati hati mereka dahulu sebelum menyampaikan dakwah agar mesej yang disampaikan lebih mudah diterima.
“Saya dapati, dari segi penerimaan, di Jepun agak sukar kerana kita perlu meyakinkan mereka bahawa mereka mempunyai Tuhan sebelum menerangkan bahawa Tuhan itu ialah Allah.
“Berbanding Korea Selatan, saya rasa lebih mudah kerana mereka lebih biasa dengan agama Kristian yang lebih dekat dengan Islam,” katanya kepada K-Remaja.
Muhammad Luqman merupakan salah seorang daripada keseluruhan 11 sukarelawan yang menyertai aktiviti dakwah bermula di Tokyo kemudian bersambung di Seoul pada 23 hingga 26 Ogos dahulu.
Selain Luqman yang merupakan pelajar Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Yamanashi, enam lagi sukarelawan ialah pelajar yang sedang melanjutkan pengajian tinggi di Jepun, manakala selebihnya merupakan pelajar dari Malaysia.
Aktiviti dakwah di Jepun menjadi fokus utama peserta memandangkan sebahagian besar mereka sedang melanjutkan pengajian di negara itu, manakala aktiviti di Korea Selatan pula pengalaman pertama mereka menerokai ruang dakwah di negara tersebut.
Sebelum menyertai aktiviti berkenaan, peserta terlebih dahulu mengikuti sesi bimbingan mingguan yang merangkumi aspek kesukarelawanan, perniagaan, keusahawanan, akademik dan tarbiah berteraskan al-Quran, hadis serta sunah Rasulullah SAW.
Bimbingan turut diberikan oleh mentor dan asatizah bagi membantu peserta memahami mesej Islam yang ingin disampaikan sebelum menjalankan aktiviti dakwah.
Fokus kepada pengalaman di Jepun, seorang lagi peserta, Aiman Md. Kahruddin, 21, berkata, dia melihat sendiri bagaimana masyarakat Jepun mula mengenali Islam melalui perkara yang dekat dengan kehidupan mereka.
Antara perkara yang membuatnya kagum ialah terdapat seorang warga Jepun yang bukan Muslim tetapi sudah boleh membaca al-Quran dan mengakui bacaan tersebut memberikan ketenangan kepadanya.
Menurut pelajar tahun dua Kejuruteraan Mekanikal di Institut Teknologi Hachinohe, Jepun, perkara tersebut menarik memandangkan masyarakat Jepun kebiasaannya lebih selesa menggunakan bahasa ibunda dan tidak ramai yang mempelajari bahasa asing.
Namun, individu tersebut sanggup mempelajari bahasa Arab demi memahami al-Quran untuk ketenangan meskipun belum membuat keputusan untuk melafazkan syahadah.
“Pengalaman itu turut mengingatkan saya kepada seorang rakan Jepun yang pernah mempelajari Kristian, Hindu dan Islam sebelum akhirnya memeluk Islam.
“Dia tak terus beritahu keluarga. Lebih kurang enam bulan kemudian baru dia beritahu ibu dia. Bila ibu dia tahu, ibu dia tidak menolak, cuma dia rasa sedih kerana rasa asing,” katanya.
Menurut anggaran Profesor Emeritus Waseda University, Hirofumi Tanada, jumlah Muslim berwarganegara Jepun meningkat daripada sekitar 43,000 pada tahun 2018 kepada kira-kira 55,000 pada hujung tahun 2024.
Angka 55,000 itu merangkumi beberapa kategori, termasuk generasi kedua, mereka yang menjadi Muslim melalui perkahwinan, naturalisasi dan mereka yang memeluk Islam atas pilihan sendiri.
Sementara di Korea Selatan, Korea Muslim Federation (KMF) menganggarkan terdapat kira-kira 65,000 Muslim Korea, termasuk golongan mualaf serta individu yang dilahirkan dalam keluarga Muslim di negara berkenaan.
Seramai 14 orang mualaf baharu warga Korea, terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita, berjaya melafazkan syahadah di Masjid Pusat
Seoul dengan kerjasama Korea Muslim Federation (KMF) pada 29 Ogos lalu sebahagian daripada hasil usaha tersebut.

di Korea Selatan.
Kehadiran komuniti Muslim di kedua-dua negara itu turut memperlihatkan bahawa dakwah bukan hanya berkisar kepada usaha memperkenalkan Islam, tetapi juga membina hubungan dan memberikan sokongan kepada mereka yang sedang mengenali agama tersebut.
Sementara itu, Pengurus Cawangan YOSH Jepun, Muhammad Muaz Mohd. Fariz berkata, pengalaman di Jepun turut membuka matanya bahawa tugas menyampaikan dakwah tidak berakhir selepas seseorang melafazkan syahadah.
Menurut pelajar tahun tiga Pengajian Antarabangsa, Undang-undang Antarabangsa di Universiti Utsunomiya itu, dia pernah mengenali seorang mualaf Jepun yang sebelum ini dibantu oleh individu lain untuk memeluk Islam, namun tidak mendapat bimbingan susulan selepas itu.
“Kebanyakan orang hanya suka mengislamkan orang lain tanpa mahu beri komitmen terhadap perjalanan mereka sebagai seorang Muslim.
“Saya ada kenal seorang mualaf, tetapi orang yang membantu dia mengucap syahadah itu kemudian hilang dan tidak lagi membimbingnya tentang Islam.
“Kami tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, ada kemungkinan dia hilang arah tetapi bagi saya, perkara itu menunjukkan pentingnya sokongan selepas seseorang memeluk Islam,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan tersebut membuatkan dia melihat dakwah dalam ruang yang lebih luas kerana ia bukan sekadar mengajak seseorang ke masjid atau melakukan perkara berkaitan ibadah secara formal.
Baginya, persahabatan, pembelajaran bersama, membantu orang lain dan berkongsi kemahiran yang dimiliki juga boleh menjadi sebahagian daripada dakwah.
Pendekatan tersebut membolehkan mesej Islam disampaikan melalui hubungan dan aktiviti harian tanpa semestinya berada dalam suasana keagamaan.
“Kadang-kadang perkara yang kita buat setiap hari itu sendiri boleh menjadi jalan untuk orang mengenali Islam.
“Yang penting ialah bagaimana kita membawa nilai Islam dalam hubungan dan kehidupan seharian,” katanya.
The post Anak muda Malaysia berdakwah di Jepun, Korea appeared first on Kosmo Online.
