Anak Najib kecewa: tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja tidak mempunyai nilai

LocalPolitics
23 Dec 2025 • 2:51 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berhubung titah adendum menunjukkan apa-apa titah atau dokumen Diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan.

Anak Najib, Datuk Mohd. Nazifuddin turut mempersoalkan jika ia merupakan pendirian kerajaan, kenapa perkara itu tidak dinyatakan dari awal dan mengapa mereka perlu berulang-alik ke mahkamah selama ini bagi memperjuangkan kewujudan satu adendum yang kini dikatakan tidak sah kerana isu proses.

“Keputusan semalam amat menyedihkan buat saya, bukan semata-mata kerana ayah saya, tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu.

“Selama puluhan tahun, Umno memperjuangkan prinsip tertinggi menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi tersebut seolah-olah runtuh.

“Ini satu implikasi yang amat besar dan mendalam terhadap sistem yang selama ini kita junjung,’’ katanya dalam kenyataan peribadi, hari ini.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

Menurut Nazifuddin yang juga Exco Pemuda Umno, beliau secara peribadi percaya addendum itu adalah sah dan begitu juga kefahaman ramai bahawa Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, manakala kuasa sebenar terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Namun semalam, mesej yang diterima amat jelas: kuasa itu kini terletak pada kerajaan, dan tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja tidak membawa sebarang nilai.

“Jika begitu, bagaimana pula dengan kes-kes terdahulu yang juga mempunyai isu proses. Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas?

“Di manakah konsistensi? Atau adakah semuanya ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia,’’ soalnya.

Nazifuddin turut membidas mereka yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan menyatakan bahawa Najib sudah empat tahun berada di Penjara Kajang.

Jelasnya, jika kehendak Yang di-Pertuan Agong terdahulu dizahirkan melalui surat Istana, maka kerajaan sedang menahan Najib secara tidak adil, bertentangan dengan kehendak tersebut.

“Lebih menyedihkan, bagi satu jenayah yang dilakukan oleh Jho Low, individu yang sehingga hari ini kerajaan sendiri tidak lagi menunjukkan kesungguhan untuk memburunya,’’ katanya yang turut memohon maaf kepada penyokong Najib kerana gagal membawa berita baik kepada mereka.

“Dan kepada mereka yang memilih untuk bergembira dan meraikan keputusan semalam, nikmatilah kemenangan politik terbesar anda, menjatuhkan sebuah kerajaan lama yang telah membina negara ini ke tahap hari ini.

“Selain meraikan sabitan seorang ahli politik Melayu, apakah lagi yang telah dilakukan untuk rakyat sama ada Melayu, Cina atau India,’’ soalnya. - 23 Disember, 2025

The post Anak Najib kecewa: tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja tidak mempunyai nilai appeared first on Scoop.