Anak pasangan suami isteri maut dibawa lihat ibu bapa buat kali terakhir

2 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anak pasangan suami isteri maut dibawa lihat ibu bapa buat kali terakhir

BATU PAHAT: Suasana pilu di pekarangan Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini apabila dua beradik terselamat dalam nahas melibatkan sebuah Perodua Alza dihempap lori membawa muatan tar di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani, di sini semalam diberi kesempatan menatap wajah ibu bapa mereka buat kali terakhir.

Muhammad Adam, 8, dan kakaknya, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dibawa turun dari wad menggunakan kerusi roda sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini dengan dibantu dua jururawat.

Kedua-dua mereka yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu dilihat tidak dapat menahan sedih ketika menghampiri jenazah ibu bapa mereka, Mohd. Hardi Mohd. Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.

Hasya Fahira dilihat beberapa kali mengucup jenazah kedua-dua ibu bapanya sambil menitiskan air mata sebelum adiknya, Muhammad Adam, turut melakukan perkara sama sebagai penghormatan terakhir.

Apabila jenazah kedua ibu bapa mereka dibawa keluar daripada Jabatan Forensik, Muhammad Adam dan Hasya Fahira yang masih berada atas kerusi roda hanya mampu melambaikan tangan diiringi linangan air mata.

Jururawat yang menemaninya mereka turut gagal menahan kesedihan apabila mereka dilindungi mengesat air mata menyaksikan perkara berkenaan.

Jenazah Mohd. Hardi dan Tengku Syafirana selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Maimon, Parit Sulong pada pukul 11.45 malam semalam.

Semalam, pasangan suami isteri itu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap sebuah lori membawa muatan tar yang terbabas dipercayai akibat tayar pada pukul 12.24 tengah hari.

Muhammad Adam dan Hasya Fahira mengalami kecederaan termasuk di bahagian kepala serta luka dan melecur pada kaki dan sedang menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dalam satu kenyataan semalam berkata, keluarga mangsa dalam perjalanan dari arah Yong Peng menghala ke Parit Sulong.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori dari arah bertentangan terbabas sehingga menghempap kenderaan MPV tersebut menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kedua-dua belah tangan dan turut melecur di bahagian anggota badan.

“Manakala pasangannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, organ dalaman dan turut melecur di bahagian anggota badan. Kedua-duanya maut di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pemandu lori berusia 30 tahun mengalami kecederaan luka di mata kanan dan pendarahan di paru-paru kiri, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN

The post Anak pasangan suami isteri maut dibawa lihat ibu bapa buat kali terakhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved