Anak pemilik restoran di Sandakan dipercayai mati dibunuh

25 Jul 2024 • 11:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pacuan empat roda terbakar membawa kepada penemuan mayat lelaki dipercayai dibunuh dalam kejadian di kawasan semak berhampiran ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan.

image is not available
Mayat lelaki dibawa ke Unit Forensik HDOK untuk tujuan bedah siasat.

SANDAKAN - Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui di kawasan semak berhampiran kawasan ladang, di Kampung Sungai Memanjang, pada Khamis.

Mayat mangsa berusia 35 tahun dipercayai anak kepada pemilik sebuah restoran terkenal di daerah ini ditemui kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan polis melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, pada awalnya polis menerima laporan berhubung sebuah pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan laporan itu sepasukan polis dikejar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

"Sebaik tiba, sebuah kenderaan pacuan empat roda sudah terbakar dan tiada individu di dalam kenderaan tersebut.

"Anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu kes laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Katanya lagi, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk dibedah siasat.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.