
GAZA: Anak lelaki pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya, terselamat dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman keluarganya di Semenanjung Gaza, awal pagi semalam.
Serangan itu berlaku ketika tentera Israel turut melancarkan serangan di beberapa kawasan lain di wilayah berkenaan sehingga mengorbankan empat rakyat Palestin, meskipun gencatan senjata yang dipersetujui lebih setahun lalu masih berkuat kuasa.
Pegawai Hamas, Basem Naim berkata, Izzeldeen al-Hayya, 29, bersama keluarganya terselamat dalam serangan yang berlaku ketika subuh itu.
Bagaimanapun, beberapa anggota keluarga mereka cedera, termasuk menantu perempuan Khalil, menurut sumber Hamas kepada agensi berita Reuters.
Keluarga seorang lagi anak lelaki Khalil yang meninggal dunia, Azzam, turut terselamat dalam serangan berkenaan.
Naim berkata, Izzeldeen merupakan anak lelaki terakhir Khalil yang masih hidup.
Empat lagi anak lelaki pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan tentera Israel sebelum ini, iaitu Hamza pada 2008, Osama pada 2014, Humam pada September tahun lalu dan Azzam pada Mei tahun ini.
Izzeldeen merupakan saudara kembar Humam yang terbunuh dalam serangan Israel menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar pada tahun lalu.
Khalil turut hampir terkorban dalam serangan berkenaan ketika rundingan sedang berlangsung. Beliau dilantik sebagai pemimpin Hamas pada Julai lalu.
Hamas mengecam serangan pada Jumaat itu dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk membunuh anak lelaki Khalil serta menyasarkan keluarganya.
Kumpulan itu mengaitkan serangan berkenaan dengan ancaman yang dibuat Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, terhadap pemimpin Hamas itu.
Hamas turut menuduh Israel cuba menggagalkan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025.
Menurut kumpulan itu, tindakan yang disifatkan sebagai pengecut tersebut mencerminkan sikap pemimpin Israel yang langsung tidak menghiraukan nilai kemanusiaan dan moral.- AL JAZEERA
The post Anak pemimpin Hamas terselamat serangan Israel, keluarga cedera appeared first on Utusan Malaysia.

