Anak perantauan tak nak balik beraya, kalau masalah air masih berlarutan

Family & Parenting
25 Mar 2024 • 11:32 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Penduduk Kampung Kemubu, Dabong, Kelantan terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air yang berlarutan selama setahun. Dan masalah itu menjadi semakin kritikal ketika bulan Ramadan, dengan 50 buah rumah terpaksa berpuasa tanpa bekalan air.

Pengerusi Persatuan Warisan Anak Krai, Hamidi Hamzah berkata, penduduk telah hilang kesabaran dan merasa tertekan dengan masalah ini. Mereka terpaksa membuat aduan berulang kali untuk mendapatkan bekalan air.

Lebih memilukan, mereka sudah hilang sabar selepas menerima ‘ugutan’ daripada anak-anak di perantauan yang enggan pulang beraya jika masalah ini gagal diselesaikan.

image is not available
Foto – Sinar Harian

Penduduk terpaksa berusaha keras untuk mendapatkan air, termasuk memunggah air dari kawasan kejiranan dengan botol dan bangun awal pagi untuk menadah air. Beberapa penduduk juga terpaksa mandi di sungai berhampiran.

Aziz Ibrahim, 72, seorang pekerja kampung, menceritakan bagaimana anak-anak dan cucu-cucunya terpaksa ‘lari’ ke lokasi lain semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini kerana masalah air.

Dia dan isterinya kini merasa gelisah memikirkan bagaimana mereka akan menyambut Syawal tanpa bekalan air yang mencukupi.

“Kepulangan yang dinantikan, sepatutnya kami boleh berkumpul beramai-ramai. Tetapi bila air setitik pun tidak keluar siapa yang boleh tahan.

“Tidak lama lagi Syawal, saya dan isteri sudah gelisah. Bukan memikirkan baju baharu, atau juadah raya. Tetapi memikirkan macam mana kami hendak kumpul air yang banyak bagi menyambut kepulangan anak-anak serta cucu,” katanya.

Difahamkan, Kampung Kemubu sebelum ini mempunyai satu tangki besar yang mampu menampung keperluan semua penduduk. Malangnya, masalah timbul apabila tangki tersebut terpaksa dikongsi dengan penduduk Kampung Gua Chatok.

Penduduk merayu agar pihak berkuasa tampil menyelesaikan masalah ini dengan segera. Mereka sudah merasa penat dan kecewa dengan situasi ini yang berlarutan.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)